TATAU: Empat keluarga yang menghuni tiga kediaman di Kilometer 6, Jalan Sangan, di sini, terselamat selepas kediaman mereka dihempap tanah runtuh lewat malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.57 malam dan segera mengatur gerak satu pasukan tiga anggota ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati, runtuhan tanah berlaku di bahagian ruang tamu dan bilik utama salah sebuah kediaman terbabit, namun penghuninya sempat menyelamatkan diri.

“Siasatan awal kita mendapati, sebanyak tiga rumah terjejas, membabitkan empat keluarga dan 15 mangsa,” katanya.

Setelah menilai keadaan di lokasi, katanya, pihak bomba menasihati penduduk agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau memandangkan situasi semasa masih berbahaya.

Ketiga-tiga keluarga termasuk tujuh kanak-kanak berpindah ke PPS dengan menaiki kenderaan persendirian, manakala satu keluarga seramai dua orang berpindah ke rumah saudara terdekat, kata Tiong.

Foto JBPM Sarawak