KUCHING: Empat individu termasuk dua beranak maut selepas terlibat dalam kemalangan di tiga lokasi berbeza di Sarawak dalam tempoh 24 jam, pada Jumaat.

Dalam kejadian pertama, dua beranak maut manakala dua lagi ahli keluarga mereka parah selepas kenderaan Proton Wira Aeroback yang dinaiki mereka telah bertembung dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Gedong, Simunjan.

Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.26 petang dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan ambulans EMRS daripada Balai Simunjan dan Serian.

"Setiba di lokasi, pasukan mendapati pemandu kenderaan, tersepit di dalam kenderaan Aeroback tersebut, manakala tiga yang lain tercampak keluar.

"Setelah dikeluarkan oleh pihak bomba, pemandu terbabit yang identitinya dikenal pasti sebagai Sim Geok Chiew, 37, telah meninggal dunia.

"Turut maut, seorang anak mangsa, Alisia Sim, 11, yang sebelum itu tercampak keluar dari kenderaan.

Dua lagi mangsa, dipercayai isteri kepada mangsa yang berusia 36 tahun, dan seorang lagi anak mereka yang berusia 6 bagaimanapun terselamat, biarpun cedera parah.

Kedua-duanya kemudian dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk rawatabn lanjut.

Dalam kejadian berasingan di Bukit BLD, Jalan Miri-Marudi, seorang maut dan seorang lagi parah selepas kenderaan lori simen yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas di tebing jalan.

Bomba kata Ling Hii, menerima maklumat sekitar jam 1.58 petang dan segera mengaktifkan sebuah jentera dengan kekuatan empat anghota dari Balai Marudi ke lokasi.

"Pasukan terbabit memgambil masa lebih dua jam dan menggunakan jengkaut milik syarikat ladang untuk menarik lori yang terbenam sebelum dapat mengeluarkan mangsa.

Identiti mangsa yang maut bagaimanapun tidak didedahkan.

Dalam insiden ketiga, seorang pemandu lori balak maut di Jalan Merudum Dam, Belaga selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.

Bomba kata Ling Hii lagi, menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.36 malam dan mengaktifkan sebuah jentera dan empat anggota dari Balai Belaga ke lokasi.

"Tiba lebih dua jam kemudian, pasukan mendapati terdapat seorang mangsa telah dihempap oleh muatan kayu balak tersebut.

"Pasukan kemudian mengambil masa 27 minit untu mengeluarkan mangsa menggunakan bantuan jengkaut untuk mengalih lori serta kayu balak.

Identiti mangsa kata, Ling Hii kemudian dikenal pasti sebagai Muhie Nawan, 44 tahun.

Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.