Menurut Ketua Kaum Kampung Bulau, Amin Antin, banjir kali ini merupakan bencana terburuk dalam sejarah kampung tersebut yang mana kesemua 86 pintu rumah di kampung ini mengalami kerosakan akibat air yang naik mendadak hingga mencapai ketinggian 11 kaki.
“Semua jalan terputus hubungan, baik laluan Lebuhraya Pan Borneo mahupun ke Jalan Pesisir. Kami terpaksa bertahan di sini. Hampir 200 penduduk terkandas manakala yang lain sememangnya bekerja di luar,” katanya kepada AWANI Borneo pada Selasa.
Walaupun penduduk telah bergotong-royong untuk membersihkan kampung, jumlah sisa banjir dan sampah besar akibat arus sungai yang deras memerlukan lebih banyak tenaga kerja.
TADIKA TERJEJAS TERUK, PELAJAR KEMBALI BELAJAR SECARA KONVENSIONAL
Banjir yang berlanjutan lebih seminggu itu turut merosakkan Tadika KEMAS Kampung Bulau, menyebabkan peralatan elektronik seperti komputer, kipas, peti sejuk, dan perabot musnah.
Guru tadika, Hasbah Tahir berkata mereka kini terpaksa menggunakan kaedah konvensional dalam proses pembelajaran kerana kehilangan kemudahan teknologi.
“Kami memang sudah menyimpan peralatan di tempat tinggi lebih awal kerana cuti sekolah, tetapi kenaikan air banjir di luar jangka ini telah menyebabkan banyak kerosakan. Laptop, komputer, printer, semua musnah. Ini menyukarkan sesi pembelajaran kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan,” ujarnya.

USAHA BANTUAN TERUS DISALURKAN
Sehingga kini, dalam tempoh sebulan pasca banjir, hampir 20 kumpulan dan organisasi daripada pelbagai agensi kerajaan serta NGO telah tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk Kampung Bulau.
Antaranya, Misi Pasca Banjir OOHA yang diketuai oleh Radio ERA Sarawak. Penyampai ERA Sarawak, Alisa Spencer, berkata pihak mereka menggunakan platform radio untuk mengumpulkan 50 sukarelawan dalam masa hanya dua minggu.
“Kami iklankan di radio untuk mengajak orang ramai menyertai gotong-royong ini. Walaupun persiapan hanya dua minggu, sambutan sangat menggalakkan. Orang Sarawak memang terbaik!”
Selain kerja-kerja pembersihan, program ini turut merangkumi pemeriksaan kesihatan percuma oleh pasukan perubatan i-Medik dan penyampaian sumbangan Astro Kasih berbentuk barangan keperluan asas.
Dr Ahmad Harith Zainuddin, Pegawai Perubatan KK Buntal yang juga sukarelawan i-Medik menegaskan bahawa banjir boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti leptospirosis (kencing tikus), melioidosis, dan gastroenteritis.
“Gejala seperti demam, muntah, dan cirit-birit perlu diberi perhatian. Jika demam berpanjangan lebih tiga hari, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan anda,” tegasnya.

KEPERLUAN INTERNET DI KAMPUNG BULAU MASIH KRITIKAL
Sementara itu, antara isu mendesak di Kampung Bulau ialah gangguan jaringan internet dan telefon sejak banjir berlaku.
Ketua Kaum, Amin Antin, berkata bahawa hubungan telekomunikasi sangat penting bagi penduduk seperti di Kampung Bulau yang tinggal di ceruk luar bandar dan dikelilingi ladang kelapa sawit.
“Sejak banjir melanda, talian telefon dan internet sangat teruk. Sebelum ini tidak ada masalah, tetapi sekarang masih belum pulih sepenuhnya. Kami harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera.”
Ketika banjir besar melanda, hampir 200 penduduk terpaksa berlindung selama seminggu di atas bukit kerana terputus hubungan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam usaha mendapatkan bantuan, senarai Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas telah dihantar kepada Pejabat Daerah Subis bagi memohon bantuan banjir sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga yang layak.

KESELAMATAN TADIKA JUGA MEMBIMBANGKAN
Selain infrastruktur internet, keadaan Tadika KEMAS Kampung Bulau turut menimbulkan kebimbangan kerana hakisan tanah akibat banjir semakin menghampiri bangunan tadika.
Menurut guru tadika, Hasbah Tahir, pagar keselamatan masih belum dibina dan terdapat ancaman buaya di kawasan tersebut.
“Tanah makin terhakis dan menghampiri tadika. Kami juga sering nampak buaya di sini, kerana ini memang habitat mereka.”
Untuk makluman, banjir Januari lalu merupakan banjir terburuk yang melanda beberapa kawasan di Sarawak, termasuk seluruh kawasan Sibuti yang menjejaskan lebih 10,000 penduduk kampung.
