KUALA LUMPUR: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) sempena lawatan rasminya ke Malaysia, sebagai penghormatan tertinggi serta pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam diplomasi global dan perundingan antarabangsa.

UM dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan Tuanku Canselor UM, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat itu kepada Erdogan dalam satu Istiadat Konvokesyen Khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Feb.

Majlis itu akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Pemimpin Turkiye itu dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Isnin.

Pada 11 Feb, beliau akan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra, diikuti dengan pertemuan bersama Anwar.

Perbincangan itu dijangka merangkumi isu dua hala, serantau dan antarabangsa, yang akan mengukuhkan lagi perkongsian strategik Malaysia-Turkiye.

Lawatan itu juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), diikuti dengan sidang media bersama.

Lawatan Erdogan akan diakhiri dengan Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye, mencerminkan komitmen bersama antara kedua-dua negara dalam memperkukuh perkongsian ekonomi.

-- BERNAMA