Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika prinsip sering kali dikorbankan demi kesenangan, Erdogan amat lantang dalam menentang penaklukan dan pendudukan haram, serta pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Beliau berkata, sokongan Turkiye terhadap Palestin bukan semata-mata dengan kata-kata, sebaliknya ia bersifat ketara, diplomatik, dan penuh dengan keteguhan.
“Ketika negara lain teragak-agak, beliau menunjukkan ketegasan dan apabila reaksi dunia semakin meningkat (terhadap kekejaman Israel), beliau pastikan sokongan terhadap Palestin diterjemah menjadi tindakan yang lebih bermakna,” kata Perdana Menteri sewaktu mengucapkan kata-kata alu-aluan sempena Majlis Syarahan Umum Presiden Turkiye di Putrajaya, pada Isnin.
Dalam pada itu Anwar berkata, pada tiga dekad lepas, beliau pernah menulis di dalam bukunya – The Asian Renaissance – tentang bagaimana negara dan penduduk di rantau Asia akan bangkit daripada penaklukan kolonial, menuntut semula hak mereka, dan membuka laluan ke arah kemajuan.
“Hari ini kita menyaksikan Turkiye sebagai satu fenomena, yang berjaya mencapai kemajuan dan kebangkitan teknologi yang mampu melonjakknya ke sempadan yang baharu.
“Kejayaan pembangunan dron Bayraktar adalah kebangkitan industri mereka. Projek kenderaan elektrik TOGG, perkembangan pesat teknologi angkasa, dan kemampuan kecerdasan buatan (AI), semuanya membuktikan Turkiye enggan dibelenggu dengan masa silam yang suram. Kini ia benar-benar menghargai erti liberalisasi dan kebebasan yang mampu melonjak Turkiye menjadi lebih maju,” katanya lagi.
Hari ini, tegas Anwar lagi, Turkiye bukan sekadar bertindak balas terhadap situasi semasa, tetapi ia membentuknya, dan ini adalah mustahil tanpa kepimpinan Presiden Erdogan, yang amat memahami bahawa sejarah lebih memihak kepada yang berani, bukan yang lemah.
Dari sudut peribadi, Anwar berkata, persahabatan yang terjalin bukan sewaktu senang semata-mata, tetapi berlandaskan solidariti yang berterusan.
“Di waktu saya dibelenggu dengan kesusahan, beliau menghulurkan tangan ketika mana ramai yang berpaling pergi. Sokongannya bukan semata-mata sembarangan (perfunctory), dan bukan juga direka demi kesesuaian politik.
“Tidak, ia adalah ungkapan persaudaraan yang tulen. Saya tidak pernah melupakannya, dan tidak akan sekali-kali melupakannya.
“Perjalanan beliau sendiri merupakan satu kisah yang menakjubkan. Daripada pemenjaraan sehingga menjawat jawatan tertinggi di negaranya, kisahnya bukan semata-mata kelangsungan hidup, tetapi satu kejayaan. Beliau bukan sahaja bertahan dengan kesukaran, tetapi menukarnya menjadi kemampanan yang lebih hebat.
“Hari ini Turkiye lebih kuat, dan lebih terjamin, dan penuh tekad berbanding era silamnya, dan itu tidak akan wujud tanpa kepimpinan beliau (Erdogan),” katanya lagi.
Anwar berkata, hari ini Malaysia mengalu-alukan bukan sekadar ketua negara, tetapi seorang pemimpin yang pengaruhnya jauh lebih luas berbanding sempadan negaranya.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)