Fadhlina berkata, ia sebagai usaha untuk mengasah semula tulisan jawi agar tidak dilupakan.
"Harap guru kemahiran jawi memaafkan saya yang sedang mencuba mengingat semula bagaimana perkataan dieja dalam tulisan jawi.
"Titah Tuanku dalam sesi pembukaan Parlimen tadi sangat mendalam. Ringkas tetapi sarat dengan peringatan yang memaknai tugas sebagai ahli Parlimen," ujarnya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Tambah Fadhlina, agenda reformasi pendidikan juga disentuh dengan mandat.
"Ia adalah agenda berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.
"Pastinya isu kedaulatan negara menjadi teras titah Sultan Ibrahim. Hatta sebesar batu karang sekalipun, ia mesti dipertahankan. Daulat Tuanku," katanya. -- Sinar Harian