KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan perjanjian jual beli (Forward Agreement) bersama pengusaha tempatan sebagai persediaan menghadapi musim pengeluaran Mangga Harumanis dan buah-buahan bermusim di negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA Shahrizan Sudiman berkata perjanjian itu melibatkan komoditi Mangga Harumanis, Perlis Sunshine dan buah-buahan bermusim, dengan nilai keseluruhan RM169,000.

"Forward Agreement ini merupakan usaha menghubungkan peserta projek dengan pasaran serta menjamin pemasarannya melalui kontrak jual beli yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu di Kampung Baru Panggas, Chuping, semalam.

Beliau berkata 60 metrik tan hasil pertanian terlibat dalam perjanjian tersebut, melibatkan 33 pengusaha dengan keluasan ladang berjumlah 35 hektar.

Shahrizan berkata FAMA turut merangka pelbagai inisiatif pemasaran termasuk Jualan Terus Dari Ladang di outlet FAMA dan pasar raya terpilih, penganjuran Program Perlis Day di Lembah Klang, Jualan Agro MADANI serta jualan dalam talian menerusi Portal Agrobazaar Online.

Sementara itu Shahrizan berkata FAMA akan memastikan bekalan kelapa mencukupi sepanjang Ramadan ini yang dijangka mengalami peningkatan permintaan.

"Bekalan kelapa untuk keperluan industri makanan, terutamanya di Pantai Timur, telah ditambah menerusi import dari Indonesia selain dibawa dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Terdahulu Shahrizan turut melancarkan program Jualan Semarak Ramadan di Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Perlis bagi memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan menjelang Ramadan.

-- BERNAMA