Dikenali sebagai Floodcom (Floating Flood Disaster Command Centre), pusat gerakan itu dibangunkan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Yayasan Inovasi Malaysia menggunakan bahan biokomposit mesra alam dan modul apungan 'radiation crosslinked HDPE (RX-HDPE)' yang inovatif.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Rosli Darmawan berkata pusat gerakan terapung pertama itu ditempatkan di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang untuk kegunaan APM negeri tersebut.
"Floodcom telah beroperasi dan dimanfaatkan semasa berlaku bencana banjir di Pahang pada awal Disember lepas. APM Pahang merupakan agensi penting yang mengendalikan dan mengawal selia pusat gerakan terapung ini bagi pengurusan bencana serta pengoperasiannya," katanya kepada Bernama..
Rosli berkata struktur Floodcomyang terapung itu berfungsi sebagai pusat gerakan bencana banjir bagi tujuan pengurusan pengoperasian dan koordinasi pasukan APM semasa bencana banjir.
"Ia juga berfungsi sebagai pusat logistik di mana kelengkapan logistik akan ditempatkan untuk memudahkan pengurusan pengoperasian semasa bencana banjir.
"Dalam masa yang sama, ia turut berfungsi sebagai pusat pengagihan bantuan bencana bagi memudahkan koordinasi penghantaran bekalan bantuan seperti keperluan asas, makanan danubat-ubatan," katanya.
Menurut Rosli, Floodcomitu juga bertindak sebagai pusat komunikasi alternatif seperti frekuensi sangat tinggi (VHF) dan frekuenci tinggi (HF) sekiranya komunikasi sedia ada mengalami gangguan.
"Dalam keadaan situasi bukan bencana pula, struktur Floodcom boleh dijadikan sebagai menara tinjau, pemantauan dan pemerhatian keadaan cuaca semasa, paras air sungai dan sebarang kejadian kecemasan.
"Selain itu, ia juga boleh dijadikan tempat untuk aktiviti menara tinjau (look-up point) bagi pelancong yang datang seterusnya menjadi nilai tambah bagi produk pelancongan," katanya.
Beliau berkata teknologi struktur terapung dikembangkan untuk manfaat masyarakat selain meningkatkan penerima gunaan teknologi nuklear yang dibangunkan oleh tenaga pakar tempatan.
"Teknologi ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran para pegawai penyelidik di agensi Nuklear Malaysia merangkumi kajian di peringkat makmal, pembangunan prototaip dan uji lari dalam situasi sebenar yang telah dijalankan sejak 2009," katanya.
Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) dilancarkan pada 20 Sept 2023 merupakan inisiatif strategik pertama kerajaan mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli serta alam sekitar.
-- BERNAMA