Pengarah Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor berkata ini termasuk menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai yang berkunjung ke pusat sains itu, antaranya pertandingan mencipta pakaian angkasawan dan muzik dari angkasa.
"Mengambil contoh pertandingan reka cipta pakaian angkasawan, reka bentuk pakaian adalah seni tetapi fungsi pakaian adalah sains, jadi seni dan sains digabungkan. Satu lagi, pertandingan mencipta planet atau bintang daripada pameran yang baru dibangunkan di Planetarium Negara, iaitu bentuk planet atau bintang adalah seni dan sifat-sifat planet atau bintang yang baharu terbentuk pula adalah sains.
"Kami juga ada program Muzik Kosmos, melibatkan frekuensi daripada alam semesta ditukar menjadi bunyi... jadi kita ada bunyi dari angkasa, kemudian bunyi ini dijadikan lagu atau muzik. Frekuensi adalah sains manakala lagu atau muzik yang dipersembahkan adalah bahagian seni," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Planetarium bersempena dengan ulang tahun ke-31 institusi itu hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei.
Pengisian program hari ini termasuk sesi ceramah oleh bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara dan Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angksa Lepas (UNOOSA) Prof Emerita Tan Sri Dr Mazlan Othman dengan tajuk " Integrating Art And Science Through Story Telling and The Arts".
Bersempena dengan hari terbuka itu, Planetarium Negara yang merupakan pusat sains khusus pengetahuan dan penerokaan angkasa lepas, menawarkan kemasukan percuma dan pengunjung berpeluang mengeksplorasi angkasa melalui tayangan filem planetarium dan kembara simulasi Space Pod.
Selain itu, orang ramai turut berpeluang melihat lebih dekat beberapa ruang pameran bertema yang mengetengahkan konsep pembelajaran bersifat hiburan seperti Cosmic Carousel, NASA's Eyes on Solar System dan Aspects of the Sky.
Planetarium Negara juga menawarkan pelbagai aktiviti pendidikan Planet Kidz di dalam bilik aktiviti baharu, khas untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)