Amirruddin Nin, 55, disabitkan oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan kegagalannya menghadiri siasatan SC di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ini susulan keputusan panel tiga hakim hari ini terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, menolak rayuan Amirruddin untuk membatalkan sabitan, hukuman penjara satu hari dan denda RM100,000 bagi satu pertuduhan.
Mahkamah juga membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda ke atas Amirruddin bagi dua pertuduhan lain.
Selain itu, mahkamah juga mengembalikan denda harian RM2,000 ke atas Amirruddin atas kegagalannya yang berterusan untuk mematuhi perintah SC selama 979 hari. Ini menjadikan jumlah denda terkumpul sebanyak RM1,958,000, jika gagal dipenjara selama 12 bulan.
Dalam menyampaikan keputusan sebulat suara, Hakim Noorin berkata Amirruddin telah diarahkan secara khusus oleh SC untuk menghadiri siasatan pada masa, tarikh dan tempat tertentu.
"Oleh itu, tiga pertuduhan terhadapnya kerana tidak mematuhi perintah tidak boleh dianggap sebagai kesalahan berterusan," katanya.
Beliau berkata bahawa tingkah laku Amirruddin secara keseluruhan jelas menunjukkan beliau cuba mengelakkan perintah tersebut.
Pada 14 Julai 2022, Mahkamah Sesyen mendapati Amirruddin bersalah kerana gagal menghadiri siasatan pengubahan wang haram yang dijalankan SC di Persiaran Bukit Kiara di sini pada tiga kali berasingan pada 2017 dan 2018.
Bagi setiap pertuduhan, dia dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM100,000 jika gagal membayar enam bulan penjara.
Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Amirruddin membayar denda harian sebanyak RM2,000 yang berjumlah RM1,958,000 secara keseluruhan, jika gagal dipenjara 12 bulan, kerana ketidakpatuhannya yang berterusan untuk hadir untuk siasatan.
Bagaimanapun, mahkamah telah membenarkan permohonan Amirruddin untuk menangguhkan pelaksanaan denda RM1,958,000 sehingga rayuannya didengar.
Pada 2023, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman Amirruddin bagi pertuduhan pertama tetapi ia mengetepikan hukuman bagi pertuduhan kedua dan ketiga. Mahkamah Tinggi juga membatalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya Amirruddin membayar denda harian.
Kedua-dua Amirruddin dan pihak pendakwaan kemudiannya merayu ke Mahkamah Rayuan.
Amirruddin telah pun menjalani hukuman penjara dan membayar denda RM300,000.
Peguam Amer Hamzah Arshad, Joshua Tay H'ng Foong dan Lee Yee Woei mewakili Amirruddin manakala Timbalan Pendakwa Raya SC, Hashley Tajudin, Jonathan Chin dan Keith Loo mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
