ALOR SETAR: Sekumpulan lelaki  dipercayai pekerja sebuah kilang telah merusuh sehingga mencetuskan pergaduhan dan situasi tegang di kilang perindustrian di kawasan Jabi Pokok Sena, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian jam 12.05 tengah hari itu berlaku pertelingkahan antara sekumpulan pekerja dengan dua penyelia kilang tersebut.

“Siasatan polis mendapati pertelingkahan dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati pekerja pekerja kilang berkenaan isu kelewatan pembayaran gaji yang dimaklumkan oleh pihak syarikat sebelum itu.

“Pada awalnya berlaku tolak menolak dalam pertelingkahan ini sehingga menyebabkan kecederaan ringan kepada tiga individu terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Siti Nor Salawati, polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian ini.

Kes telah disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang mana jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua duanya.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berkenaan kejadian, khuatir akan mencetuskan kegusaran terhadap kententeraman awam.

“Setakat ini, keadaan adalah terkawal dan difahamkan isu pembayaran gaji pekerja kilang tersebut telah diselesaikan oleh pihak syarikat terbabit,” katanya.