ISKANDAR PUTERI: Polis berjaya menyelesaikan kes melarikan seorang lelaki warga Sri Lanka dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan pada 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memaklumkan pekerjanya, seorang lelaki Sri Lanka berusia 26 tahun, telah dilarikan dari sebuah kedai cuci kereta di Gelang Patah sekitar jam 9 pagi.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan.

"Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 37 tahun dalam serbuan di Kuala Selangor dan Bestari Jaya, Selangor pada 1 Mac, sekitar jam 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun salah seorang suspek lelaki memiliki rekod jenayah lampau.

Jelasnya, polis turut merampas empat telefon bimbit dan dua kenderaan milik suspek.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan teman lelaki kepada salah seorang suspek wanita.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa meninggalkan wanita itu, menyebabkan kumpulan suspek bertindak menculiknya,” katanya.

Menurut beliau, dua suspek lelaki telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 7 Mac di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

"Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 34 kanun sama kerana kesalahan dilakukan secara bersama.

"Manakala dua suspek wanita pula dibebaskan dengan bon jamin di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah.

"Mahkamah menetapkan 27 Mac sebagai tarikh sebutan kes, dengan kedua-dua suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM1,000 dan RM3,500," ujarnya. - Sinar Harian