KUANTAN: Pemuda yang hilang dihanyutkan arus ketika mandi bersama abangnya di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam, Raub seminggu lalu ditemui lemas pada Isnin.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, mayat Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22 ditemui jam 1 tengah hari dalam keadaan tertimbus di dasar sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi dia terjatuh.

Menurutnya, kedudukan mangsa ditemui dengan bantuan petunjuk lokasi oleh orang kampung.
"Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Bukit Angin, Temerloh membuat pencarian di lokasi dan berjaya menemui mayat mangsa yang tertimbus.


"Mayat mangsa berjaya dinaikkan jam 1.25 tengah hari sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pencarian mangsa memasuki hari ketujuh sebelum mayatnya ditemui.

Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 4.08 petang Selasa minggu lalu, mangsa dipercayai mandi di sungai berkenaan bersama abangnya, Muhamad Tarmizi Sudin, 23.

Ketika itu mangsa dikatakan mengalami masalah ketika berada di dalam air dan abangnya cuba membantu dengan menolaknya ke tebing namun dihanyutkan ekoran keadaan arus deras.

Orang awam yang melihat kejadian cuba memberi bantuan dengan menggunakan sebatang kayu tetapi mangsa tidak sempat mencapai kayu tersebut sebelum tenggelam.

Dalam kejadian itu, abang mangsa ditemui selamat apabila hanyut bersama bot. -- Sinar Harian