'Generasi sandwich' merujuk kepada kumpulan yang terhimpit antara tanggungjawab, terkesan dengan bebanan tugasan harian dan dalam masa yang sama perlu mengimbangi kerjaya, penjagaan keluarga, serta keperluan diri sendiri.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah berkata, negara ini sedang berhadapan dengan situasi di mana wanita perlu menanggung tanggungjawab yang semakin besar kerana populasi warga emas juga semakin meningkat.
“Fenomena ini bukan sekadar “double burden”, tetapi kini menjadi “triple burden” apabila mereka bukan sahaja perlu mencari nafkah, tetapi juga menjaga anak-anak dan menjaga ibu bapa yang semakin uzur.
“Tanpa sokongan institusi yang kukuh, tekanan terhadap golongan ini dijangka akan bertambah buruk. Jika tidak ditangani dengan baik, keadaan ini boleh memberi kesan negatif kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara,” jelas seorang pakar dalam satu sesi perbincangan mengenai isu 'generasi sandwich,' di Astro AWANI hari ini.
Jelasnya lagi, beliau telah mengemukakan beberapa saranan kepada kerajaan dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan kebajikan 'generasi sandwich' ini diberikan perhatian sewajarnya.
Menurut Mohd Faiz, Kerangka Ekonomi Madani turut dilihat sebagai satu langkah penting dalam menangani isu ini kerana ia menekankan aspek kelestarian, penjagaan, dan tanggungjawab sosial.
“Tanpa dasar yang kukuh, situasi ini berpotensi untuk memberi kesan berpanjangan terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” ujarnya lagi.
