KUALA LUMPUR: Dasar untuk mendigitalkan penyampaian perkhidmatan kerajaan atau GovTech dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun 2025. 


Ringkasan AI
  • GovTech dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun 2025 setelah proses penilaian semula selesai.
  • Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) akan memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan, kesihatan, teknologi agro, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan perkhidmatan digital kerajaan.
  • Pusat kecemerlangan ditubuhkan di setiap kementerian untuk mengenal pasti masalah berkaitan penyampaian perkhidmatan, dengan NAIO menyediakan penyelesaian digital kepada masalah yang dibangkitkan.


Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dasar GovTech kini dalam proses penilaian semula dan akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Dasar Kerajaan Digital (Govtech) telah dibuat pada Mac 2020. Kita dalam proses melihat dan mengkaji semula dasar tersebut, khususnya dengan mengambil kira teknologi dan AI (kecerdasan buatan) baharu. 

“Kita berharap agar proses menilai semula dasar ini diselesaikan dalam beberapa minggu akan datang. Kita jangka Govtech akan dilancarkan pada suku pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan 5G Advanced yang merupakan kerjasama antara Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson di sini hari ini.

Tambah Gobind, penyelesaian digital kepada perkhidmatan kerajaan merupa satu daripada lima sasaran penyampaian kementeriannya melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).

“Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) pada suku pertama memberi tumpuan kepada sektor pengangkutan, kesihatan, teknologi agro, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perkhidmatan digital kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, ketika ini sebuah pusat kecemerlangan telah ditubuhkan di setiap kementeriaan yang diterajui oleh Menteri dan pegawai kementeriaan untuk mengenal pasti masalah-masalah berkaitan penyampaian perkhidmatan.

Seterusnya, Gobind berkata NAIO akan mengemukakan solusi digital kepada permasalahan yang dibangkitkan oleh setiap kementerian berkenaan.