Tertuduh, Mohd Kharulnizam Muslin, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan mangsa sebagai guru kaunseling.
Kesalahan itu dilakukan di dalam bilik kaunseling sebuah sekolah rendah di sini, pada awal hingga akhir Mei 2023 dan awal September 2023 antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang.
Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat.
Selain itu, tertuduh didapati dalam milikannya komputer riba mengandungi 180 gambar dan video bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
Kesalahan itu dilakukan pada 12 Disember 2023 di sebuah rumah di Taman Warisan Puteri di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat-syarat tambahan.
Peguam, Mohamad Zahid Ahmad merayu dengan menyatakan jaminan terhadap anak guamnya adalah sangat tinggi dan membebankan.
"Anak guam saya ialah penjawat awam dan sekarang tidak lagi mengajar dan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah Seremban, isterinya pula hanya suri rumah.
"Saya mohon agar jaminan minimum diberikan kerana tertuduh mempunyai dua anak masih bersekolah berusia 11 tahun dan empat tahun," katanya.
Tambahnya, tertuduh juga memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan dan bersedia menerima apa-apa syarat tambahan ditetapkan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sekiranya ada pasport, perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai dan sebutan semula kes 7 Mac depan. - Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)