SEPANG: Seorang guru lelaki di sebuah sekolah rendah di Dengkil di sini disiasat polis selepas didakwa menjalin hubungan istimewa dengan anak muridnya yang berusia 12 tahun.

Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar selepas bapa kandung mangsa tampil membuat laporan polis pada 26 Februari lalu setelah mengesyaki anak perempuannya kerap dihubungi suspek melalui aplikasi TikTok, Love8 dan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati mesej yang dihantar oleh guru berusia 30-an itu bersifat mencurigakan dan tidak menunjukkan hubungan profesional antara guru dan anak murid.

"Berdasarkan laporan, pengadu curiga selepas menemui mesej-mesej tidak sepatutnya antara suspek dan mangsa yang dihantar melalui beberapa aplikasi media sosial.

"Suspek dipercayai menggunakan medium komunikasi itu untuk berhubung secara peribadi dengan mangsa tanpa pengetahuan keluarga," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017."Siasatan berkaitan kes ini masih dijalankan secara lanjut. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menimbulkan spekulasi atau menyebarkan berita serta maklumat yang tidak benar berkaitan kes ini," katanya. -- Sinar Harian