PUTRAJAYA: Badan Peguam Malaysia dalam memorandum rayuan berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menolak permohonan badan itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut Badan Peguam, terdapat beberapa persoalan undang-undang baharu berhubung pindaan penting kepada Perlembagaan Persekutuan.

Badan Peguam menyatakan hakim Mahkamah Tinggi juga terkhilaf apabila membuat keputusan ringkas bahawa semua persoalan undang-undang baharu yang dibangkitkan badan itu, tiada satu pun yang memerlukan penghujahan serta pertimbangan penuh dan mendalam pada peringkat substantif.

Dalam memorandum rayuan yang diperoleh Bernama, Badan Peguam itu memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila secara ringkas menolak hujah mereka mengenai Perkara 40 (1A) yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada 24 Jun 1994, telah mengubah undang-undang dengan ketara.

Menurut Badan Peguam, fungsi perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan dan penangguhan hukuman sebelum ini dianggap sebagai "hak prerogatif diraja" yang boleh dilaksanakan menggunakan budi bicara Seri Paduka Baginda tanpa perlu menerima nasihat Lembaga Pengampunan.

Namun, ia berpendapat pindaan Perlembagaan kini memerlukan Yang di-Pertuan Agong untuk "menerima dan mengikut" nasihat daripada Lembaga Pengampunan dalam menjalankan fungsi dan kuasa pengampunan.

Badan itu menjelaskan elemen budi bicara dan prerogatif yang wujud sebelum ini telah dimansuhkan oleh pindaan Perlembagaan berkenaan. Dalam memorandum rayuan itu, Badan Peguam memohon agar rayuan mereka dibenarkan.

Ia memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Nov tahun lepas, yang menolak permohonan badan berkenaan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman itu difailkan pada 26 April 2024, dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, serta Najib sebagai responden.

Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan 2024 berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjara beliau yang menyaksikan pembebasan awal beliau pada 23 Ogos 2028 adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Badan Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan denda bekas perdana menteri itu daripada RM210 juta kepada RM50 juta adalah terbatal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Najib, 71, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 dan Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA