Beliau berkata lima kanser utama ialah payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, dan hati.
Dzulkefly berkata sebanyak 14 peratus kematian direkodkan pada 2023 berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya, menjadikan punca kematian ketiga tertinggi di negara ini.
"Namun di sebalik angka ini, ada harapan. Harapan ini bergantung pada tindakan kolektif kita untuk meningkatkan pencegahan, saringan awal, dan akses rawatan. Inilah fokus utama Kementerian Kesihatan dalam mereformasi sistem kesihatan negara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat kebangsaan 2025 yang bertemakan "Penyatuan Dalam Keunikan".
Sementara itu, Dzulkefly berkata Malaysia akan membawa Resolusi Kesihatan Paru-Paru ke Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) pada tahun ini dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama 14 negara anggota lain.
Langkah itu katanya, merupakan satu inisiatif Malaysia dalam menjadikan kesihatan paru-paru sebagai agenda kesihatan global utama selain menggalakkan pelaburan lebih besar dalam saringan dan rawatan kanser paru-paru.
Tahun lepas, Malaysia telah mengambil langkah signifikan dalam menangani beban global penyakit paru-paru dengan mengetuai penyerahan bersejarah Resolusi Kesihatan Paru-Paru WHO pada Kongres Kanser Sedunia yang diadakan di Geneva, Switzerland.
Resolusi itu, yang disasarkan untuk diterima pakai sebagai agenda kesihatan global di WHA dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun ini, bermatlamat untuk memberikan keutamaan kepada kesihatan paru-paru di platform antarabangsa.
-- BERNAMA
