KUALA LUMPUR: Hampir 50 peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji telah bersetuju dan selesai menjawab tawaran haji bagi musim 1446H/2025M, setakat 27 Jan lepas.


Ringkasan AI
  • Hampir 50% daripada 31,600 bakal jemaah haji telah bersetuju dan selesai menjawab tawaran haji bagi musim 1446H/2025M, dengan majoriti daripada golongan M40.
  • Malaysia sedang menunggu maklum balas dari Arab Saudi mengenai permohonan tambahan kuota sebanyak 10,000 untuk musim haji 1446H/2025M.
  • Malaysia dan Arab Saudi telah memeterai Memorandum Urusan Haji untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan haji, termasuk mematuhi garis panduan ketibaan dan pergerakan pulang jemaah.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 27 peratus adalah jemaah daripada golongan B40, 60 peratus daripada golongan M40 dan selebihnya adalah daripada golongan T20.

"Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan surat tawaran kepada 31,600 bakal jemaah untuk menunaikan ibadah haji bagi tahun 1446H/2025M dan proses semakan serta penerimaan tawaran boleh dilakukan melalui portal THiJARI," katanya dalam jawapan bertulis di portal Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) yang ingin tahu jumlah tawaran haji dan penerima mengikut kategori T20, M40 dan B40 bagi tahun 1446H.

Dalam jawapan berasingan, Moha Na'im berkata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sedang mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk tambahan kuota sebanyak 10,000 bagi membolehkan lebih ramai umat Islam Malaysia dapat menunaikan haji untuk musim 1446H/2025M.

Beliau berkata pada masa kini, kerajaan masih menunggu maklum balas daripada pihak Kerajaan Arab Saudi berkenaan permohonan tersebut.

"Kerajaan Malaysia melalui TH menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1446H/2025M melalui pemeteraian Memorandum Urusan Haji bersama pihak Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutamanya dalam pengurusan haji untuk musim ini.

"Memorandum ini menjadi bukti komitmen kerajaan melalui TH dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal dhuyufurrahman khusus untuk musim haji kali ini," katanya bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jumlah kuota haji.

Mohd Na'im berkata Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah.

-- BERNAMA