ISTANBUL: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Malaysia boleh mempelajari sistem pengurusan sempadan Turkiye yang dilihat berjaya menjamin keselamatan negara itu.
Dalam satu temu bual dengan Agensi Anadolu, beliau berkata Malaysia mahu mempelajari mengenai kaedah kawalan pelarian, berkongsi pengalaman dalam bidang pelancongan dan pemuliharaan tapak bersejarah serta mengukuhkan pertukaran antara rakyat.
Di tengah-tengah perubahan politik tempatan dan global, Hamzah turut menggesa kepimpinan politik yang lebih kukuh dalam kalangan negara Islam selain perpaduan parti politik yang dapat membuahkan hasil lebih baik untuk negara terlibat.
Malaysia, katanya, ingin memainkan peranan dalam memperjuangkan dunia yang lebih baik dengan menjalin kerjasama dengan semua pihak.
Hamzah yang mengadakan lawatan ke Turkiye turut berkesempatan melawat kawasan sempadan dengan Syria, Iraq dan Greece, serta pusat kawalan.
Sambil memuji hubungan lebih erat Turkiye dan Malaysia di peringkat tertinggi, Hamzah berkata Turkiye dan Melaka, "dua negara Islam yang telah bekerjasama dalam pelbagai sektor" dalam sejarah perkongsian mereka selama 500 ratus tahun.
"Ini kerana Melaka (semenanjung) ketika itu adalah negara perdagangan, dan Turkiye (Negara Uthmaniyyah) pula sebuah kuasa besar," katanya.
Beliau berkata hubungan diplomatik rasmi yang wujud pada 1964 "menandakan satu lagi tahap persefahaman" antara kedua-dua negara.
"Dalam perubahan ekonomi dunia, kita di Malaysia merasakan bahawa kita juga perlu bekerjasama rapat bukan sahaja dengan negara lain tetapi juga dengan Turkiye, kerana kedua-dua negara telah bekerjasama sejak 500 tahun yang lalu," katanya.
Sempena lawatan itu, Hamzah turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Ketika melawat kawasan sempadan Turkiye dengan Syria dan Iraq dan pengurusan sempadan maritim dengan Greece, Hamzah telah diberi taklimat mengenai pengurusan, perancangan dan pengawasan fizikal.
Beliau turut melawat pusat arahan dan kawalan sistem pengurusan sempadan Turkiye.
Memandangkan keadaan geopolitik di rantau ini, Hamzah berkata, "Terdapat banyak pihak atau negara berminat untuk mempunyai pangkalan mereka di rantau ini."
"Justeru itu, Turkiye telah membuat dasar untuk mengukuhkan keadaan keselamatan dan pertahanan mereka di kawasan itu.
"Untuk melakukannya, anda perlu mempunyai teknologi dan aset yang secukupnya dan mereka (telah) membangunkan aset dan industri jenis itu (untuk) memastikan mereka mempunyai mekanisme pertahanan yang mampan pada masa depan.
"Saya kagum...kerana Turkiye mempunyai dasar pertahanan negara yang berpandangan jauh...," katanya.
Ketika berada di Istanbul Hamzah meluangkan masa melawat pusat panggilan kendalian kerajaan, "merangkumi tujuh jabatan antaranya kesihatan, perhutanan dan bomba yang menggunakan hanya satu nombor, iaitu 112."
"Saya akan mengadakan perjanjian yang sangat komprehensif antara dua negara, terutamanya mengenai keselamatan...," kata Hamzah sambil menambah kedua-dua negara dijangka menandatangani perjanjian mengenai perkara itu dalam beberapa bulan akan datang.
Hamzah mengakui pandemik telah melambatkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Turkiye dan Malaysia dalam sektor pertahanan.
"Sudah tentu COVID-19 telah mencetuskan lebih banyak masalah. Kami mahu mulakannya semula," katanya merujuk kepada 14 MoU yang ditandatangani antara syarikat swasta Turki dan Malaysia di bidang pertahanan pada 2019.
"Melihat pada sisi positif, kami telah merancang apa yang perlu dilakukan segera selepas pendemik ditangani. Dan kita boleh terus mengorak langkah," tambahnya.
Selain itu menurutnya, Turkiye boleh mendapat manfaat daripada penyertaan Malaysia dalam pakatan perdagangan terbesar dunia - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
"Dengan begitu banyak perjanjian lain yang kami ada seperti RCEP, ia peluang untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan kami," katanya.
RCEP ialah perjanjian perdagangan bebas serantau dalam kalangan 14 negara di Asia Pasifik.
Dalam temu bual itu Hamzah turut berkongsi pengalamannya ketika melawat Masjid Hagia Sofia.
"Bukan rakyat Turkiye sahaja yang datang melawat masjid itu malah rakyat dari seluruh dunia. Nilai sejarah sangat penting kepada manusia, kerana ia adalah asas ketamadunan," katanya.
Masjid itu menjadi tumpuan pengunjung sejak ia dibuka untuk umat Islam menunaikan solat pada 2020.
Turkiye dan Malaysia berkongsi banyak 'persamaan' dan rakyat Turkiye boleh mengunjungi Malaysia dan sebaliknya.
Selain itu kedua-dua negara boleh menjalinkan kerjasama antaranya dalam bidang pemuliharaan artifak sejarah.
Katanya, Malaysia juga memiliki "semua budaya ASEAN" dan "Malaysia is truly Asia."
'Masalah Rohingya adalah mengenai identiti'
Berhubung isu kemasukan pelarian Rohingya, menteri itu berkata negara itu tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Atas dasar kemanusiaan kami benarkan mereka berada di Malaysia," kata Hamzah.
Bagaimanapun, katanya tidak ada sesiapun dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa mematuhi undang-undang dan bertindak sewenang-wenangnya.
"Masalah utama yang kita hadapi ialah mereka yang tidak ada dokumen dan di Malaysia tidak semua Rohingya berdaftar.
"Kami mahu pastikan mereka yang tinggal di negara kami mempunyai dokumen untuk kita tahu keberadaan mereka, di mana mereka tinggal dan bekerja," katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa pernah menahan bot yang membawa penduduk Rohingya dan apabila pemerikasaan dilakukan mereka hanya memberikan kad UNHCR.
"Adakah adil dengan hanya memberikan kad itu sebelum mendarat di negara kita...Malaysia. Inilah isu besar yang saya hadapi," katanya.
Pada tahun 1980-an apabila perang Vietnam berlaku dan ramai penduduk dari negara Asia Tenggara yang dilanda perang itu melarikan diri ke Malaysia.
"Dan pada masa itu, kami membenarkan UNHCR mempunyai pangkalan, pejabat sementara... Perjanjian hanyalah sementara untuk mereka membuka pejabat. Tetapi mereka tinggal selama bertahun-tahun," katanya.
Hamzah berkata Malaysia "ingin melihat bagaimana Turkiye menguruskan masalah itu.
Untuk menyelesaikan isu Rohingya, beliau menggesa supaya "mengenal pasti pelarian sebenar."
"Kemudian membawanya ke peringkat antarabangsa untuk mengadakan kerjasama antara Myanmar dan Malaysia, bagi menerima mereka kembali," katanya, mencadangkan penggunaan mekanisme serantau seperti ASEAN.
Mengenai sama ada ASEAN, yang turut dianggotai Myanmar, gagal membantu menyelesaikan isu Rohingya, beliau berkata: "Kami tidak boleh buat sebarang penilaian buat masa ini."
"Jika kita katakan ASEAN gagal dalam isu ini, patutkah (kita) mengatakan PBB juga gagal dalam banyak isu lain," soalnya.
Beliau berkata ASEAN harus dibenarkan berbincang dengan Myanmar dan ASEAN juga disaran melantik utusan khas "ke Myanmar untuk berbincang mengenainya."
"Ia kini menjadi masalah keselamatan, bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga semua negara anggota ASEAN," katanya.
'Negara Islam perlu kepimpinan lebih kuat, kestabilan politik'
Sambil merujuk kepada negara majoriti umat Islam, Hamzah berkata: "Kita harus melihat kepada semua negara Islam (dan) jenis masalah yang mereka hadapi."
"Anda akan melihat krisis kepimpinan, kestabilan politik dan sektor ekonomi.
"Kami, beberapa negara selain kami, hanya boleh memimpin dan membawa mereka kembali ke tahap tertentu...setiap orang harus belajar daripada yang lain dari segi nilai, budaya dan sikap yang akan menjadikan dunia lebih baik," katanya.
Mengenai persekitaran politik di Malaysia, Hamzah berkata: "Saya sangat positif dan optimis bahawa Malaysia boleh mencapai tahap yang lebih baik apabila semua pemimpin politik duduk bersama, melupakan masalah lalu dan meletakkan keutamaan kepada negara."
"Adalah penting untuk semua negara tidak mengalami krisis kepimpinan dan bagi tujuan itu, pemimpin mesti berbincang...insyaAllah Malaysia mampu pergi jauh lebih daripada apa yang kita ada hari ini," katanya.
Mengulas dari segi geopolitik pula Hamzah berkata dasar Malaysia adalah bekerjasama dengan semua pihak.
"Bagi melaksanakannya, Malaysia ingin memainkan peranan dalam berkongsi serta saling mempelajari antara satu sama lain. Apa yang kita perlukan ialah sebuah dunia yang selamat untuk semua orang hidup bersama," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jun 08 2022

Hamzah mengadakan kunjungan hormat terhadap Erdogan pada 31 Mei 2022 bertempat di Istana Presiden Republik Turki, Ankara. - Facebook Hamzah Zainudin
Tumpuan Jumaat – 7 Mac 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.

Sekatan eksport cip AI AS boleh buka peluang Malaysia perkukuh teknologi tempatan - MITI
Malaysia berpeluang untuk menggalak serta memperkukuh keupayaan tempatan dalam pembangunan teknologi sekiranya Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan eksport cip kecerdasan buatannya (AI).
AWANI Tonight 6 March 2025
AWANI Tonight with Farhana Sheikh
1. UMNO denies links to MACC probe into ex-PM Ismail Sabri
2. Govt introduces special passes for investors, expats
1. UMNO denies links to MACC probe into ex-PM Ismail Sabri
2. Govt introduces special passes for investors, expats

KKM laksana pelbagai usaha capai matlamat masyarakat bebas rokok
Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan usaha mencapai matlamat masyarakat bebas rokok melalui pelbagai pendekatan dan program.

Aaron perlu fokus pemulihan sebelum ke Seluruh England 2025 - Roslin
Aaron Chia dinasihatkan supaya memberikan lebih tumpuan kepada pemulihan kecederaan pergelangan tangan berulang yang dialaminya menjelang Kejohanan Badminton Seluruh England 2025.

Agong, Raja Permaisuri berbuka puasa bersama PM, Jemaah Menteri
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri dan perwakilan asing di Istana Negara, malam ini.
AWANI 7:45 [6/3/2025] – Tindakan undang-undang | Polis siasat 40 tan peluru hidup | Aktiviti anak di sekolah dirakam | Setakat 25 Februari 2025
Laporan berita padat dan ringkas #AWANI745 bersama Dzulfitri Yusof
Tumpuan #AWANI745 malam ini:
-Wang tunai dan jongkong emas, tiada kaitan dengan UMNO
-Jumlah sitaan sindiket e-waste, mencecah RM3.9 bilion
-Pegawai penguatkuasa e-waste diugut, aktiviti anak di sekolah dirakam
-750 rakyat Malaysia diselamatkan, mangsa sindiket pekerjaan
Tumpuan #AWANI745 malam ini:
-Wang tunai dan jongkong emas, tiada kaitan dengan UMNO
-Jumlah sitaan sindiket e-waste, mencecah RM3.9 bilion
-Pegawai penguatkuasa e-waste diugut, aktiviti anak di sekolah dirakam
-750 rakyat Malaysia diselamatkan, mangsa sindiket pekerjaan

Letupan periuk api ragut 4 nyawa di Hodeidah, Yemen
Empat individu, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban dalam bencana letupan periuk api di wilayah barat Yemen, Hodeidah, kata pegawai perubatan tempatan pada Khamis.

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS bagi hari ketiga berturut-turut
Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.4230/4270 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4270/4320 pada Rabu.
AWANI Ringkas: Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara, saham
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

EU setuju laksana secara berperingkat EES untuk tingkat keselamatan sempadan
EES akan merekodkan secara digital data masuk dan keluar para pelancong, termasuk butiran pasport, cap jari, dan imej muka.

Hamzah puji pengurusan keselamatan, sempadan Turkiye
Malaysia ingin memainkan peranan dalam memperjuangkan dunia yang lebih baik dengan menjalin kerjasama dengan semua pihak.