Menurut Pengurus Pemasaran & Jualan, Hanna Rauda, Alia Athirah Zainudin, perkhidmatan yang fleksibel ini membezakan Hanna Rauda daripada jenama lain kerana dapat menyediakan perkhidmatan penyesuaian pantas yang menjaga kualiti.
"Kami memberikan keistimewaan kepada pelanggan untuk menyesuaikan sulaman, saiz, dan bentuk supaya pakaian yang dihasilkan betul-betul sesuai dengan badan mereka, keselesaan dan keindahan adalah keutamaan kami", katanya.
Alia berkata, reka bentuk pakaian di Hanna Rauda menampilkan gabungan antara elemen tradisional dan moden.
Sulaman yang dihasilkan bukan sahaja menonjolkan seni lokal, tetapi juga diberikan sentuhan kontemporari yang sesuai dengan citarasa masa kini.
Jenama yang bermula kurang daripada sepuluh tenaga kerja, tetapi kini sudah berkembang kepada lebih 30 orang.
"Peniagaan ini membesar secara perlahan tetapi konsisten dengan sokongan tenaga kerja yang ramai, kami mampu memenuhi permintaan pelanggan tanpa menjejaskan kualiti", kata Alia.
Kepercayaan pelanggan dan komitmen terhadap seni sulaman telah membantu Hana Rauda memperkukuh kedudukannya dalam industri fesyen.
Media sosial menjadi platform utama untuk Hana Rauda mempromosikan produk mereka. Jenama ini aktif di Shopee, TikTok, dan Instagram, yang memudahkan pelanggan melihat koleksi terkini dan membuat tempahan.
"Melalui media sosial, kami bukan sahaja dapat pamerkan hasil seni, tetapi juga menjangkau pelanggan dari seluruh dunia. Kami turut berkolaborasi dengan insta-famous yang berpengaruh dalam bidang fesyen untuk memperluaskan capaian kami," katanya.
Selain platform digital, pelanggan juga boleh mengunjungi butik Hana Rauda yang terletak di Rawang, Sungai Buloh, dan Bangi Central.
Hanna Rauda percaya bahawa kejayaan dalam perniagaan memerlukan asas ilmu yang kukuh serta bimbingan daripada mereka yang berpengalaman.
Keberanian untuk mencuba walaupun terdapat ramai pesaing juga merupakan elemen penting dalam mengejar kejayaan, kerana tanpa mencuba, potensi sebenar tidak akan dapat diterokai.