Menurut Duta Besar Malaysia ke AS itu, White House juga hanya mengundang pemimpin China ke majlis itu dan negara tersebut hanya menghantar Naib Presidennya.
Kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan, jemputan untuk menghadiri majlis angkat sumpah tersebut disampaikan oleh kerajaan AS kepada semua pejabat kedutaan baru-baru ini.
“Seperti masa lalu, Ketua Perwakilan yang diiktiraf ke Amerika Syarikat, bersama pasangan mereka, akan mewakili ketua negara masing-masing dan kerajaan mereka. Jemputan ini tidak boleh dipindah milik,” kata jemputan tersebut.
Kenyataan yang dibuat Mohamed Nazri sekali gus menjawab tohmahan beberapa pihak mengenai ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim ke upacara tersebut.
Mohamed Nazri hadir ke majlis tersebut mewakili kerajaan Malaysia dengan mengenakan sepasang baju Melayu hitam dan bersongkok.
Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden pada Isnin, menandakan perubahan besar dalam pentadbiran AS yang dijangka memberi kesan mendalam kepada masyarakat Amerika dan dunia.
Dalam ucapan sulungnya, Trump berikrar untuk “meletakkan Amerika di tempat pertama” semasa menandakan babak baharu untuk negara itu
Selepas majlis pelantikan, Trump meninggalkan Capitol dan menuju ke Arena Capital One untuk menyampaikan ucapan kepada penyokongnya dalam satu perhimpunan yang turut menampilkan perarakan Presiden.