Ringkasan AI
- Kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 sebelum ini, berkuat kuasa Ahad ini, untuk menampung kos upah dan input pertanian yang meningkat.
- Kementerian Pertanian sedang memuktamadkan perundingan untuk membolehkan penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi MADANI.
- Perdana Menteri akan melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian di Kedah pada 27 Februari, melibatkan pelaburan RM1 bilion untuk meningkatkan produktiviti hasil padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu diputuskan setelah mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras.
"Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada masa ini sedang memuktamadkan perundingan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan untuk membolehkan penyedia perkhidmatan di dalam industri padi dan beras juga layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi MADANI," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan khas berkait isu padi dan beras di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.
Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penetapan itu yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan kerajaan turut mengekalkan harga beras putih tempatan (BPT) pada kadar RM2.60 satu kilogram (kg) bagi memastikan bekalan beras terus stabil di pasaran.
Langkah itu menurutnya melibatkan peruntukan kira-kira RM150 juta bagi tempoh enam bulan untuk menyerap sebahagian kos pengeluaran.
"Ini bagi memastikan keberadaan bekalan BPT sekitar 24 juta kampit 10kg di pasaran.
"(Bagaimanapun) kami sedang memperincikan kaedah pelaksanaan dan ia akan diumumkan setelah perincian dimuktamadkan dalam masa terdekat," jelasnya.
Sementara itu, Mohamad menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual turun ke Kedah pada 27 Februari ini bagi melancarkan Projek Infrastruktur Pengairan dan Saliran Pertanian yang bertujuan menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun.
Projek itu katanya melibatkan pelaburan sekitar RM1 bilion dan dijangka memberi impak besar kepada sektor pertanian negara, khususnya dalam meningkatkan produktiviti hasil padi.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)