KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 di seluruh negara masing-masing kekal pada paras RM3.43 dan RM2.05 seliter bagi tempoh 6 hingga 12 Feb ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung juga kekal pada paras RM3.18 seliter sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah iaitu RM2.15 seliter bagi tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, penetapan harga tersebut adalah berdasarkan harga runcit produk petroleum mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik.

"Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA