PELAWAK Harith Iskander tampil membuat laporan polis apabila menerima ugutan bunuh susulan perkongsiannya berkenaan sensitiviti isu 'ham' baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Pelawak Harith Iskander membuat laporan polis setelah menerima ugutan bunuh berkaitan isu 'ham' baru-baru ini, menyebabkan pembatalan persembahannya untuk keselamatan.
  • Bekas isteri dan pengurusnya, Dr Jezamine Lim, meluahkan kekecewaan terhadap ancaman dan serangan dalam talian yang menyebabkan pembatalan persembahan yang dirancang berbulan-bulan.
  • Dewan Filharmonik Petronas (DFP) memohon maaf atas pembatalan persembahan komedi Harith Iskander yang dijadualkan berlangsung esok, dengan pihak berkuasa menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.


Bekas isterinya yang juga pengurusnya, Dr Jezamine Lim berkata, ugutan itu diterimanya pada minggu lalu.

“Disebabkan ancaman dan serangan dalam talian tanpa henti daripada individu tertentu, kami dan DFP bersetuju untuk tidak meneruskan persembahan yang dirancangkan demi keselamatan.

“Tidak mudah membuat keputusan ini kerana Harith telah melakukan persiapan dan kerja keras selama berbulan-bulan untuk persembahan ini.

“Untuk membatalkan persembahan ini adalah sungguh mendukacitakan bagi Harith, selain anak-anak kerana Zander dan Zydane sepatutnya menjadi sebahagian daripada aksi persembahan,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.

Kesal dengan keadaan itu, Jezamine mempersoalkan mentaliti sesetengah individu yang bertindak melampau.

“Saya harap suatu hari nanti anda akan temui ketenangan dalam diri anda.

"Saya harap satu hari nanti hati anda lembut dan anda memahami bahawa tenaga yang anda gunakan untuk menyebarkan kebencian sebaliknya boleh digunakan untuk menyebarkan kasih sayang, empati dan positif. Karma akan datang pada anda mengikut apa yang anda berikan.

“Kepada individu yang menyiarkan komen kemarahan dan mencetuskan kemarahan ini, saya harap anda bertanggungjawab," katanya.

Semalam Dewan Filharmonik Petronas (DFP) mengumumkan pembatalan persembahan komedi oleh Harith Iskander, yang dijadualkan berlangsung Sabtu.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh DFP, pihaknya memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. -- Gempak