KUALA LUMPUR: Pendapatan hasil pelancongan pulau peranginan, Pulau Langkawi meningkat sebanyak RM2.4 bilion atau 34.9 peratus bagi tempoh 2022 hingga 2024, berikutan peningkatan pelancong seramai 323,115 orang atau 11 peratus dalam tempoh tersebut, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata berdasarkan data terkini, kehilangan hasil atau duti terkorban bagi pulau itu berikutan pengecualian cukai meningkat sebanyak RM227.96 juta atau 59.7 peratus dari tahun 2022.

"Oleh yang demikian, sebarang cadangan tambahan barangan dalam skop pengecualian cukai akan memberi kesan langsung kepada kutipan hasil negara," kata Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada Isnin mengenai kerugian hasil cukai tahunan yang ditanggung kerajaan sekiranya status bebas cukai Pulau Langkawi dipulihkan.

Beliau juga mahu kerajaan membentangkan kajian impak ekonomi yang menunjukkan peningkatan pendapatan penduduk tempatan berbanding kehilangan hasil tersebut.

Dalam pada itu, kementerian itu menyatakan jumlah kutipan cukai-cukai baharu yang diperkenalkan pada 2024 iaitu Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG) adalah bernilai RM476.1 juta, dan Cukai Perkhidmatan Digital (DST) sebanyak RM1.6 billion.

Bagaimanapun, Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dilaksanakan pada 1 Mac, 2024 hanya akan diketahui bermula 1 Julai, 2025 iaitu selepas pembayar cukai syarikat mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran semasa secara e-filing.

Jawapan ini menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jumlah kutipan cukai-cukai baharu berkenaan.

Mengenai pertanyaan sama ada kerajaan akan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semula, kementerian itu berkata pihaknya belum berhasrat untuk melaksanakannya buat masa ini.

Ia berkata pelaksanaan GST memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang sama ada di pihak kerajaan dan di pihak industri.

Berbanding Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), ia sedia ada telah difahami oleh peniaga dan rakyat kerana sudah digunakan lebih 40 tahun dan masih boleh ditambah baik untuk menjana hasil tambahan bagi kerajaan dengan lebih pantas, kata kementerian itu.

-- BERNAMA