Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata ekspo yang dijadual berlangsung selama enam bulan bermula pertengahan April akan turut disertai pelbagai agensi kerajaan, antaranya di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Peluang masih dibuka kepada pemain industri halal untuk turut serta dan kami menggalakkan pengusaha menyahut seruan ini agar HDC boleh menghubungkan mereka dengan rakan kongsi perniagaan berpotensi semasa ekspo berkenaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Go Halal 'X-Pert' Pasir Salak: Kursus Asas Pengendalian Makanan Halal di Kolej Komuniti Pasir Salak di sini semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari.
Khairul Azwan berkata permintaan terhadap produk makanan halal Malaysia sangat tinggi malah semakin menjadi pilihan termasuk dalam kalangan pengguna bukan Islam.
"Kita mahu kekalkan dominasi Malaysia sebagai peneraju serta pemimpin industri halal global, jadi jenama halal Malaysia ini perlu diperluaskan serta diperkasakan sepanjang tempoh ekspo berlangsung.
"Selain itu, kita mahu menarik lebih banyak pelabur asing datang membuka kilang di taman industri halal di negara ini dengan menggunakan sijil halal negara kita," katanya.
Beliau berkata HDC ketika ini sedang memuktamadkan syarikat yang akan menyertai ekspo terbabit dan ia akan diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelak.
-- BERNAMA
