HIDUP ibarat maraton…
Demikian digambarkan oleh pengarah filem tersohor negara, Chiu Keng Guan mengenai idea pembikinan buah tangan terbaharunya, On Your Mark.
Mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan skrip, percaturan Keng Guan membuahkan hasil selepas filem ini menamatkan tayangan di China dengan kutipan sebanyak RM96 juta.
Ini sentuhan magis daripada pengarah sama yang menghasilkan karya masterpiece OlaBola dan The Journey.
Mula menceburi dunia perfileman pada 2010, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini terkenal dengan filem blockbuster yang menyentuh tema persahabatan, keluarga dan patriotisme.
Pelbagai kejayaan telah ditempa sejak penghasilan filem pertamanya, WooHoo! pada 2010.
Dan kini menerusi On Your Mark, Keng Guan sekali lagi memberikan sentuhan luar biasa.
Berkongsi pengalaman pembikinan filem tersebut kepada Astro AWANI, sutradara ini berkata, tema yang diangkat disifatkan begitu dekat dengan realiti masyarakat.
"Cerita itu sendiri memfokuskan kepada gambaran kehidupan masyarakat di Chongqing, China. Ia diinspirasikan daripada kisah benar.
"Tetapi penekanan utama dalam filem On Your Mark adalah hubungan ayah dan anak. Selain itu, elemen lain seperti persahabatan, dan semangat tidak mudah berputus asa yang ditunjukkan dalam filem adalah dekat dengan realiti, yang mana ia boleh menghubungkan dengan semua orang," katanya.
On Your Mark mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.
Namun, cita-cita itu dihalang oleh bapanya, Xiao Daming, kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong kemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.
Pemenang anugerah Pengarah Terbaik melalui filem Great Day di Golden Wau Awards 2013 itu menambah: "Dalam keluarga oriental, bapa seringkali dilihat sebagai yang kedua (kasih sayang ayah dilupakan) berbanding ibu yang membesarkan anak. Kisah ini mengingatkan kita tentang (kasih sayang) seorang ayah yang berkait dengan kita semua."
Pengarah prolifik ini turut mengetengahkan sukan maraton, yang merupakan antara salah satu sukan popular di China.
"Sebenarnya, hidup adalah seperti maraton. Ada jatuh dan bangun… kadangkala anda rasa seperti mahu berputus asa. Keluarga dan kawan-kawan bersorak sepanjang perjalanan, jadi kita mempunyai semangat untuk menamatkan larian," ceritanya ketika ditanya mengenai garapan idea filem tersebut.
Berkarya di Negara Tembok Besar adalah pengalaman baharu buat Keng Guang.
Beliau mengakui antara cabaran sepanjang menghasilkan filem On Your Mark antaranya, menguasai dialek tempatan dan memahami budaya sukan maraton.
"Kami melakukan beberapa kajian dan temu bual bagi mendapatkan gambaran sebenar dan budaya masyarakat di Chongqing.
"Saya juga tinggal di Chongqing untuk menyelami kehidupan orang di sana bagi memastikan saya menyampaikan kisah tentang mereka dengan tepat.
"Selain itu, persekitaran kerja baharu, dan kru juga cabaran besar buat saya. Ia mengambil masa untuk membina kepercayaan dan keserasian dalam kalangan pasukan. Tetapi saya gembira kerana ia berjalan lancar, pada akhirnya," ujarnya.
Keng Guan turut menyifatkan pemilihan pelakon untuk memegang sesuatu watak merupakan kriteria penting bagi kejayaan sesebuah filem.
Bagi On Your Mark atau tajuk asalnya The Great Dad atau Liao Bu Qi de Lao Ba, beliau mengambil masa sebulan untuk memilih pelakon bagi memastikan setiap watak itu digerakkan dengan baik oleh para pelakon.
"Selebihnya, kami biarkan para pelakon untuk meneroka kehidupan watak tersebut seperti belajar dialek Chongqing, pengalaman memandu teksi serta latihan maraton.
"Saya hanya mahu memastikan mereka hidupkan watak dan mempersembahkan yang terbaik dalam filem. Itu sangat penting," katanya lagi.
Mengenai perancangan masa depan, Keng Guan yang digelar sebagai ‘The King of Malaysian Movies’ tidak hanya mahu memfokuskan pasaran China, sebaliknya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pengarah dan pelakon di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, beliau turut meluahkan rasa teruja filem On Your Mark telah menemui penonton Malaysia sejak 26 Ogos lalu, dengan Astro Shaw bertanggungjawab sebagai pengedar untuk Malaysia dan Singapura.
On Your Mark dibintangi pelakon hebat China seperti Wang Yanhui, Zhang Youhao, Gong Beibi serta penampilan istimewa pelakon filem The Last Tycoon, Feng Wenjuan.
Jangan lepaskan peluang menonton filem On Your Mark di pawagan rumah anda, Astro First!. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
* Temu bual bersama Chiu Keng Guan akan turut disiarkan dalam AWANI 745 malam ini.
Hasimi Muhamad
Fri Sep 10 2021
Keng Guan pernah menggegarkan industri perfileman negara dengan beberapa karya hebatnya termasuk OlaBola pada 2016 - Gambar Astro Shaw
Perancis keluarkan waran tangkap terhadap Bashar
Dua majistret penyiasat Perancis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Pemimpin Syria, Bashar al-Assad, atas dakwaan bersubahat dalam jenayah perang, menjadikannya kali kedua tindakan sedemikian diambil oleh pihak berkuasa kehakiman negara itu.
Kelahiran bayi di Korea Selatan pada November tertinggi dalam 14 tahun
Menurut Statistik Korea, seramai 20,095 bayi dilahirkan pada November 2024, menandakan peningkatan 14.6 peratus berbanding 17,530 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Trump janji tamatkan konflik, tapi Rusia-Ukraine masih berperang
Rusia dan Ukraine terus melancarkan serangan udara ke atas satu sama lain, walaupun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru mengangkat sumpah jawatan, mendakwa kononnya mampu menamatkan perang dalam masa 24 jam.
SHP Batang Kali bukti usaha Kerajaan Selangor kurangkan jejak karbon - Amirudin
Amirudin berkata, pembinaan loji hidrokuasa kecil ini membuktikan kemampuan negeri memimpin usaha menghasilkan penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan hijau.
Clinker Line 2 Cahya Mata dijangka siap Mac 2027, bantu tingkat pengeluaran simen Sarawak
Setelah siap, Cahya Mata Cement akan mencapai kapasiti pengeluaran simen tahunan sebanyak 2.4 juta metrik tan.
YouTube uji ciri audio berkualiti lebih tinggi
Jump Ahead membolehkan penonton melangkau terus ke bahagian video yang dirasakan menarik.
AWANI Ringkas: Pertumbuhan ekonomi, potensi rantau ASEAN
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Kes tipu pindah milik tanah: Kerajaan Selangor tanggung kerugian tinggi - Amirudin
Amirudin Shari menegaskan pertindihan ini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak terbabit.
Ibu bapa Zayn Rayyan mohon dibebaskan serta-merta
Pasangan berusia 30 tahun itu memohon agar dibebaskan serta-merta daripada satu pertuduhan mengabai kanak kanak-kanak autisme itu.
176 warga asing ditahan di Bukit Bintang
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi yang bermula 7.15 malam itu dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan aduan orang awam serta risikan.
'Hidup ibarat maraton!' - Selepas cipta sejarah melalui Ola Bola, kini On Your Mark janjikan magis
Ini sentuhan magis daripada pengarah sama yang menghasilkan karya masterpiece Ola Bola dan The Journey.
Selepas kutip RM96 juta di China, kisah epik 'On Your Mark' kini di Astro First
Pengorbanan antara inti pati filem On Your Mark arahan pengarah prolifik, Chiu Keng Guan, baru-baru ini menempa sejarah box office di China.
Pengarah filem 'Ola Bola' dan 'The Journey', Chiu Keng Guan lebar sayap ke China
Filem 'On Your Mark' arahan Chiu Keng Guan akan mula ditayangkan di China bermula 18 Jun ini.