Sempadan Malaysia-Thailand hari ini pada awalnya telah ditetapkan oleh Kerajaan British dan Siam pada tahun 1909 menerusi Perjanjian Bangkok. Menerusi Perjanjian 1909 ini, garis sempadan sepanjang 646km telah dilukis dari Barat ke Timur, dari Perlis ke Kelantan, memisahkan wilayah-wilayah selatan Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat daripada wilayah-wilayah rumpun mereka di Kelantan dan Terengganu. Wilayah Setul dipisahkan dari Kedah dan Perlis dan menjadi provinsi Satun pada hari ini.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan sempadan yang dilukis oleh British dan Siam ini lebih menguntungkan pihak Thailand. Sultan-sultan Melayu tidak dilibatkan dalam melukis garis sempadan ini pada tahun 1909. Sebagai contoh, apabila garis lurus ke arah timur dilukis dari Kedah dan Perlis, ianya akan sejajar dengan wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla dan bukannya bersempadanan langsung dengan Kelantan. Ini menyebabkan Tanah Melayu pada tahun 1909 kehilangan wilayah-wilayah selatan Siam yang bermajoriti penduduk Melayu sehingga hari ini.

Kita harus sedar bahawa negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia adalah cuma sebahagian daripada apa yang patut menjadi wilayah negara kita pada hari ini. Oleh itu, kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu menjaga keutuhan dan kedaulatan negeri-negeri ini dengan baik.

Pergilah sahaja ke pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar ataupun Bukit Kayu Hitam-Dannok. Para pengunjung akan dapat menyaksikan bendera Thailand berkibar megah betul-betul di Kilometer 0 garis permulaan wilayah negara tersebut. Di Dannok contohnya, potret Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn terpampang dengan kebanggaan dan bendera kebangsaan Thailand berkibaran tepat di wilayahnya tetapi hanya beberapa langkah seberang, tidak kelihatan Jalur Gemilang dikibarkan di wilayah Malaysia.
Keadaan yang sama dapat dilihat di pintu sempadan Padang Besar yang mana jata negara Thailand terukir indah di Bangunan Imigresen dan Kastamnya dengan Bendera Thailand tinggi berkibar melambangkan kedaulatan negaranya di wilayah itu, yang hanya beberapa inci sahaja dari Malaysia.

Malaysia tidak mungkin kehilangan wilayah-wilayah ini sepertimana kita kehilangan Batu Puteh kerana Malaysia telah melaksanakan apa yang dikatakan pendudukan efektif ataupun effective occupation seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang antarabangsa di kawasan-kawasan sempadan ini. Pihak polis dan tentera kita sering melakukan rondaan bagi mengelakkan berlakunya penerobosan. Masyarakat antarabangsa juga telah mengiktiraf negeri-negeri ini sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Tetapi ini tidak bermaksud kita hanya perlu mengambil langkah sambil lewa dalam mengetengahkan lambang-lambang kedaulatan negara kita di pintu-pintu masuk sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand. Janganlah hanya apabila kita kehilangan sesuatu barulah waktu itu kita akan menghargainya dan terhegeh-hegeh untuk memancangkan bendera.
Pintu sempadan antarabangsa adalah lambang keutuhan kedaulatan negara kita dan haruslah kita hiasi dengan simbol-simbol kedaulatan – tidak banyak, sebatang tiang dan bendera Malaysia yang berkibaran megah sudah mencukupi.
*Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
*Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.