KUALA LUMPUR: Sekumpulan 10 penuntut universiti yang dipanggil memberi keterangan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada 25 Januari lepas, menganggap ia adalah intimidasi terhadap perjuangan mereka.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Muhammad Zaim Zulkifli Ariff berkata, mereka hairan mengapa anak muda yang menuntut negara bebas rasuah ‘diseret’, tetapi bukan bukan perasuah, atau pencuri harta negara.

Beliau berkata" "Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu ingat bahawa mereka juga pernah melalui ‘keperitan yang sama’, dikejar, dihambat, malah dipenjara kerana menuntut keadilan, namun  prinsip keadilan yang pernah dijunjung kini seolah-olah mahu dikuburkan demi keselesaan politik.

“Walaupun kita nampak ini sebagai satu bentuk intimidasi, kita tak akan berdiam diri. Kita juga selaku mahasiswa tidak akan sesekali tunduk dengan apa yang berlaku. Bak kata merekalah, membujur lalu melintang patah.

“Jika ini harga yang perlu dibayar demi sebuah negara itu menjadi adil dan bermaruah, maka kami bersedia untuk melawan. Jangan sesekali menyangka bahawa intimidasi akan melemahkan semangat anak muda kerana kami percaya dengan konsep Garuda - semakin ditekan semakin kami pantas melawan dan juga bangkit,” katanya lagi.

Muhammad Zaim berkata demikian kepada media selepas dia dan rakan-rakannya selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Ahad.

Katanya lagi, mereka dimaklumkan bahawa siasatan dilakukan di bawah Seksyen 9(5), Akta Perhimpunan Aman 2012.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman sebagai berkata, 10 mahasiswa berkenaan selesai memberi keterangan bersama lima peguam di IPD Dang Wangi.

Pada 25 Januari lepas, Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan di ibu negara membuat tiga tuntutan kepada kerajaan.

Muhammad Zaim Zulkilfi Ariff yang juga Setiausaha Sektetariat Rakyat Benci Rasuah berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan untuk mengemukakan tuntutan itu secara rasmi kepada Putrajaya dalam masa terdekat.

Jelasnya, perhimpunan itu tidak diadakan hanya untuk menunjukkan rasa marah tetapi menyampaikan kekhuatiran mereka terhadap skandal rasuah yang didakwa masih berlaku dalam sistem politik negara.

"Tiga tuntutan itu ialah menyegerakan pemisahan AGC dari Pejabat Perdana Menteri, pembebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dari kuasa eksekutif, dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik.

“Semua tuntutan ini tidak mustahil untuk dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya percaya, rakyat takkan merungut dan akan menyokong jika semua perkara ini dilaksanakan segera,” kata lagi.