Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu sedar bahawa Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada Sabtu adalah sebahagian daripada momentum kebangkitan rakyat untuk mendesak pihak berkuasa menoktahkan rasuah.
Menurutnya, Kerajaan MADANI harus bertindak bagi melaksanakan janji reformasi terutamanya tiga tuntutan yang diminta.
“Kita semua tahu skandal rasuah terbesar iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menjatuhkan maruah negara, tetapi sehingga hari ini tidak ada reformasi struktural untuk memastikan skandal salah guna kuasa seumpama itu tidak berulang.
“Reformasi yang disebut telah dinantikan rakyat sekian lama. Apa yang menjadi halangan untuk ia dibahaskan dan dilaksanakan? Kita tidak mahu rakyat kecewa kerana kegagalan usaha reformasi ini dilaksanakan,” katanya.
Tambah Muhammad Faisal, sasaran utama Bersih adalah untuk membawa suara rakyat Malaysia yang bencikan rasuah dan menuntut tahun 2025 sebagai permulaan kepada usaha menoktahkan jenayah itu.
Bersih dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada peserta terlibat dalam himpunan pada Sabtu. - Sinar Harian