SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi rakyat Malaysia.
Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian dalam Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya hari ini.
Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Selangor turut bertitah, "di dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan 'ambiguity'," titah baginda.
Baginda turut bertitah, pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut dan terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut.
Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.
Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik 'Black Friday' kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.
"Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut. Beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah Beta semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini," titah Sultan Selangor.
Baginda bertitah, antaranya, melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci; dan mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Sultan Selangor turut bertitah, Jawatankuasa Khas ini telah diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.
"Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka.
"Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini. Namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin ALLAH Subhanahu Wata’ala satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini," titah baginda.
Sementara itu, Sultan Selangor turut bertitah menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan.
"Di kesempatan ini, beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.
"Kita tidak perlu berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh kita selesaikan dengan cara bermesyuwarah dan secara tertutup. Kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul," titah baginda.
Baginda bertitah rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulamak dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua.
"Oleh itu adalah menjadi harapan Beta agar saranan dan nasihat Beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.
"Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini.
"Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama," titah baginda.
Baginda bertitah, telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam.
"Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.
"Teguran beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah Beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ianya menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan," titah Sultan Selangor.
Baginda turut bertitah, isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama.
"Beta juga berharap amalan melantik Menteri Agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik dan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan Menteri Agama di dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam.
"Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.
"Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.
"Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak," titah baginda. - Sinar Harian
Sinar Harian
Thu Feb 15 2024

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bertitah pada Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya hari ini. - Foto Facebook Selangor Royal Office

Sarawak dan Huawei meterai MOU pacu transformasi digital
MOU juga bertujuan menjalin kerjasama untuk memodenkan rangkaian penghantaran bagi menyokong teknologi 5G dan inovasi masa depan di Sarawak.

Kerajaan tidak bercadang semak semula kadar cukai pendapatan syarikat buat masa ini - Kementerian Kewangan
Buat masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menyemak semula kadar cukai pendapatan syarikat, menurut Kementerian Kewangan.

Revolusi kewangan United, pejabat London bakal tutup?
Kelab tersebut sedang mengkaji semula keperluan pejabat mereka di London dan potensi penjimatan yang boleh dilakukan.

Presiden Palestin sambut baik pelan Mesir bina semula Gaza, gesa AS sokong
Pemimpin negara-negara Arab berkumpul di Kaherah pada 4 Mac untuk membincangkan satu pelan alternatif bagi membangunkan semula Gaza tanpa mengusir penduduknya.

Imam Besar Al-Azhar seru Sidang Kemuncak Liga Arab ambil 'pendirian sepakat' mengenai Gaza
Imam Besar Al-Azhar, pada Selasa menggesa pemimpin Arab agar mengambil "pendirian sebulat suara" terhadap rancangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza.

JDT kekang kuasa Buriram di laman sendiri
Pasukan tuan rumah berdepan isu penyudah yang tumpul, selain cabaran untuk mengatasi disiplin bertahan yang kukuh ditunjukkan JDT.

VM2026: Tourism Malaysia pergiat usaha tarik pelancong India
Pada 19 Februari, Malaysia melancarkan kempen pelancongan berskala besar di India sempena pameran pelancongan terkemuka di New Delhi.

Anggota JPJ diminta kukuhkan semangat berpasukan, berintegriti jalankan tanggungjawab
Ketua Pengarah JPJ berkata, ia penting sebagai persediaan dalam menghadapi cabaran lebih besar pada tahun ini.

Petani UK rancang protes baharu di London bantah cukai warisan
Protes kali ini akan diadakan kebanyakannya dengan berjalan kaki, selepas pihak polis mengehadkan jumlah traktor yang dibenarkan masuk berikutan gangguan lalu lintas.

Perubahan iklim tingkatkan risiko kebakaran bandar - Kajian
Ketika suhu global terus meningkat akibat perubahan iklim, bandar-bandar dijangka berdepan risiko kebakaran yang semakin meningkat.

Sultan Selangor terima zakat perniagaan anak syarikat negeri RM13.2 juta
Sultan Sharafuddin berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah lebih RM13.2 juta daripada enam anak syarikat kerajaan negeri, pada Isnin.

Jenazah Pro-Canselor Unisel, Dr Anuar Masduki selamat dikebumi
Jenazah Pro-Canselor Unisel Datuk Dr Anuar Masduki yang meninggal dunia pagi tadi, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

Sanusi lepas bebas kes hasutan kait Agong ke-16
Hakim memutuskan demikian selepas pendakwaan memberitahu pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan kes dihadapi Muhammad Sanusi.

Sultan Selangor titah pegawai kerajaan bertugas penuh tanggungjawab, jauhi rasuah
Baginda bertitah ketua jabatan juga perlu memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di jabatan masing-masing.

Sultan Selangor titah ADUN fokus perkara penting, elak besarkan perkara remeh
Baginda juga bertitah agar ADUN menghindari sebarang tindakan kurang sopan atau membesarkan perkara remeh.

Hospital Kajang kini dikenali Hospital Tengku Permaisuri Norashikin
Perasmian nama baharu itu diadakan pada majlis yang disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Titah Sultan Selangor berhubung usaha perkukuh akidah, iman dilaksanakan segera - Mohd Na'im
Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar usaha memperkukuh akidah dan iman umat Islam di Malaysia dipergiat akan segera dilaksanakan.

Sultan Selangor dukacita masih ada umat Islam terperangkap maklumat salah
Baginda bertitah umat Islam dilihat semakin mudah terpengaruh dengan dakyah ajaran sesat dan menyeleweng.

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat ke Majlis Penutup Tilawah Al-Quran
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Titah Sultan Selangor ada makna tersirat, seru rakyat rai perbezaan - Penganalisis
Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena perutusan tahun baharu semalam menggambarkan penggunaan media sosial tanpa kawalan mampu menggugat keamanan negara.