Perunding Industri Penanggung Insurans dan Jaminan Dr Mohamed Rafick Khan berkata hospital swasta perlu menilai semula peranan mereka sebagai penyedia perkhidmatan dan berusaha untuk menjadi rakan kongsi sebenar dalam industri insurans kesihatan.
"Ini bukan hubungan menang-kalah. Hospital swasta perlu menguruskan caj hospital dan kos perniagaan tanpa mengeksploitasi rakan kewangan mereka. Mereka juga perlu memahami bahawa syarikat insurans mempunyai had dan boleh menutup perniagaan kesihatan pada bila-bila masa. Apa akan dilakukan ahli Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) jika itu berlaku?
"Sebagai rakan dalam hubungan yang saling bergantung (simbiotik), hospital dan syarikat insurans perlu menguruskan operasi dengan mengekalkan paras keuntungan yang munasabah dan terus berkembang. Dengan permintaan semakin pesat terhadap perkhidmatan kesihatan, mereka perlu menerima pakai perspektif jangka panjang dan hubungan sihat yang memanfaatkan semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dr Mohamed Rafick berkata hospital swasta mesti melibatkan diri dalam perbincangan yang wajar dengan pemberi bayaran utama mereka (syarikat insurans) bagi mewujudkan situasi menang-menang atau beroperasi sebagai penyedia dan organisasi penyelenggaraan kesihatan.
Beliau menyifatkan hospital dan syarikat insurans sebagai rakan kongsi dalam hubungan saling bergantung dengan kedua-dua pihak perlu mengimbangi margin keuntungan yang munasabah dan pertumbuhan yang mampan.
"Dengan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan semakin berkembang, penting untuk industri mengamalkan strategi jangka panjang bagi memastikan ekosistem yang sihat dan berkembang.
"Pendekatan ini akan membolehkan hospital dan syarikat insurans terlibat dalam perbincangan lebih wajar serta produktif untuk mewujudkan situasi menang-menang, memastikan kelangsungan kedua-dua pihak, penyedia dan syarikat insurans sebagai bahagian penting dalam sistem penjagaan kesihatan," katanya.
Pertikaian yang semakin meningkat antara hospital swasta dan syarikat insurans di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan terhadap kemampanan kewangan sektor itu.
APHM dan persatuan insurans juga telah membuat kenyataan umum berhubung peningkatan premium penjagaan kesihatan dan keperluan untuk bekerjasama bagi memastikan kestabilan jangka panjang.
-- BERNAMA
