Hakim Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh Mohamad Amin Shahul Hamid, 44, untuk mengetepikan hukuman dan sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada Mac 2022.
Mahkamah Tinggi mendapati semua keputusan oleh Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini adalah adil dan saksama dan tidak keterlaluan malah sejajar dengan kehendak Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Hakim Mohd Radzi menetapkan hukuman penjara bermula pada Jumaat, bagaimanapun, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut selepas Mohamad Amin memohon untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Mahkamah menaikkan jaminan asal daripada RM50,000 kepada RM100,000 ringgit dengan seorang penjamin susulan permohonan daripada pihak pendakwaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuain Farhana Ahmad manakala Mohamad Amin diwakili peguam R Arvend dan Arvind Santhanam.
Pada Mac 2022, Mohamad Amin telah dijatuhi hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas didapati bersalah terhadap enam kes pertuduhan berkaitan rasuah.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak iaitu penjara selama 12 tahun bermula tarikh sabitan.
Tertuduh yang pernah berkhidmat di Mahkamah Lipis dan Raub itu didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan RM110,000 daripada Hassan Basri di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019.
Suapan tersebut sebagai dorongan untuk hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh.