Tertuduh, P Anantthanras, 35 dan M Iswari, 33, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, pemandu van kilang dan operator kilang itu didakwa melakukan pengabaian terhadap anak lelaki mereka berusia 10 tahun yang mana kedua-duanya mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa.
Perbuatan itu didakwa di lakukan di Taman Sentosa, Nibong Tebal, Pulau Pinang di antara 29 hingga 30 Januari lepas.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh diikat jamin selain faktor mangsa yang juga anak kandung pasangan itu adalah saksi penting dalam kes tersebut.
Rifaie turut memberitahu mahkamah, mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap selain tertuduh yang juga bapa mangsa mempunyai rekod kesalahan lampau dibawah seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 2019 dan 2020.
Mahkamah juga tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.
Difahamkan, terdapat kesan kecederaan baru dan lama pada mangsa akibat dipukul serta kesan bakar pada badannya.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)