Menerusi notis usul yang diperolehi media, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pada 28 Jan, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh telah menolak permohonan mereka bagi menggantung prosiding perbicaraan sementara.
Ia bagi menanti penyelesaian dan pelupusan penuh notis usul bagi membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Pasangan itu mendakwa susulan permohonan penggantungan itu ditolak, perbicaraan akan diteruskan pada 3 hingga 7 Feb.
Selain itu, mereka memohon supaya mahkamah mendengar permohonan tersebut dengan segera, kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kesan prejudis terhadap pasangan itu tidak dapat dipulihkan, memandangkan ia melibatkan hak asasi serta prinsip keadilan.
Pasangan itu memaklumkan menurut Seksyen 35(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Sesyen (Petaling Jaya) tidak seharusnya meneruskan perbicaraan pada 3 Feb ini, sehingga notis usul (menggantung prosiding perbicaraan) diputuskan oleh mahkamah.
Menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan Zaim Ikhwan dan Ismanira, pasangan itu juga mendakwa mereka telah dinasihati peguam cara agar satu penggantungan prosiding harus diperintahkan Mahkamah Sesyen dan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, serta mengakui bahawa permohonan bagi membatalkan pertuduhan harus diputuskan terlebih dahulu.
Pasangan itu juga berkata adalah tidak wajar dan amat merugikan sekiranya kedua-dua proses perbicaraan dan permohonan membatalkan pertuduhan diteruskan serentak, kerana ia akan memberi kesan prejudis kepada mereka kerana terpaksa menjalani perbicaraan.
"Kami sedang mencabar pertuduhan tersebut kerana ia cacat dan tidak berasas untuk dibicarakan," dakwa pasangan itu dalam afidavit berkenaan.
Pada 21 Jan, Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pertuduhan tersebut dan memohon agar mereka dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan, yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 13 Jun 2023, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
-- BERNAMA