AMPANG: Seorang ibu yang tergamak memukul, mencubit dan menampar anak kandung lelakinya berusia enam tahun sehingga maut dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Wanita berusia 25 tahun itu dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Ibu kepada dua anak itu turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun, dilarang memelihara dan menjaga kanak-kanak lain selama lima tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara pemenjaraan bermula Rabu dan dia perlu dipenjara tambahan setahun sekiranya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dua bulan telah mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal iaitu memukul, mencubit dan menampar sehingga dia meninggal dunia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang di sini antara jam 2 petang, 8 Januari hingga 6 petang, keesokan harinya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, peguam, Muhammad Aidil Akmal Sharidan yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman denda.

“Dia merupakan seorang penganggur, telah menanggung dua anak iaitu mangsa dan seorang lagi bayi berusia enam bulan, mengaku menyesal atas perbuatan yang dilakukan,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana ia merupakan kesalahan serius, lebih-lebih lagi menggadaikan nyawa anak kandung sendiri.

“Tertuduh selaku ibu kandung tidak sepatutnya mencederakan mangsa sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Mengikut fakta kes, wanita itu memaklumkan mangsa mengalami demam panas dan sawan, namun hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian ialah disebabkan kesan trauma tumpul di kepala dan perut.

Hasil rakaman percakapan tertuduh mendapati mangsa dipukul, ditampar, dicubit dan dimarahi wanita itu kerana sentiasa menangis serta tidak membuang air dengan teratur.

Tertuduh juga membiarkan mangsa yang demam dan tidak menghantarnya ke hospital.

Dalam pada itu di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, teman lelaki wanita terbabit, Muhammad Redza Zainurin, 36, didakwa atas satu pertuduhan membunuh kanak-kanak malang ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh kanak-kanak itu di lokasi sama pada jam 2.36 petang, 10 Januari lalu.

Muhammad Redza didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak lebih 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada 11 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang ibu dan teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak, di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita, mendakwa anaknya tidak lagi bernafas selepas tidur. -- Sinar Harian