IPOH: Seorang ibu membuat tiga laporan polis mendakwa anaknya dipukul guru sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada badan, tapak tangan dan kepala.

Aiza Salzul Hanira Zulkapli, 42, mendakwa kejadian disedari pada 9 Sept tahun lepas selepas mengambil anaknya yang berusia enam tahun daripada sebuah sekolah dekat Jelapang.

Beliau mendakwa anaknya yang mengikuti kelas prasekolah mula menunjukkan perubahan emosi, sentiasa murung serta tidak mahu ke sekolah dan apabila ditanya, anak tunggalnya itu mengadu telah dicubit sehingga meninggalkan kesan lebam pada bahagian pinggang, selain mengadu setiap hari diketuk kepala.

"Saya telah mengambil video dan bahan bukti kecederaan pada anak saya, kemudian telah membuat satu laporan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 12 Sept selain diadukan perkara itu kepada guru besar sekolah berkenaan, termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) agar menangani perkara tersebut.

"Pada 6 Dis lalu saya ingatkan penderaan sudah berakhir, namun anak mengadu takut untuk ke sekolah kerana guru terbabit masih memukul kepalanya hingga mengakibatkan anak saya trauma, jadi satu laporan polis dibuat pada 8 Dis 2024," katanya pada sidang media bersama Pengerusi Gerakan Perak Chek Kwong Weng, di sini hari ini.

Aiza Salzul Hanira berkata laporan polis kedua dibuat di Pondok Polis 10 Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 14 Dis lepas selepas mendapati tangan kiri dan kanan anaknya bengkak kebiruan dipercayai dirotan guru terbabit.

Beliau berkata polis telah mengeluarkan satu surat permintaan pemeriksaan doktor bagi orang terlibat kes polis dan pegawai perubatan HRPB memaklumkan berlaku kecederaan tisu pada tapak tangan anaknya.

"Anak saya telah dipindahkan ke kelas lain, namun guru terbabit masih datang ke kelas anak saya seolah-olah berdendam dan masih memukul dan mencubit anak saya setiap hari hinggalah pada 10 Jan lalu, anak saya sudah tidak sanggup ke sekolah dan satu lagi laporan polis dibuat pada 16 Jan lalu di Balai Polis Jelapang," katanya.

Menurut Aiza Salzul Hanira, anaknya telah dimasukkan ke wad HPRB bagi tujuan pemantauan dan doktor telah merujuk anaknya kepada pakar psikiatri.

Wanita itu berkata beliau mahu masyarakat tahu wujud penderaan di sekolah berkenaan dan berasa kecewa apabila alasan anaknya dipukul adalah kerana tidak tahu mengeja dan tidak menyiapkan kerja sekolah.

"Kesannya bukan sedikit, membawa kepada gangguan emosi yang berpanjangan seperti anak saya sekarang, walaupun telah bertukar sekolah, dia masih ketakutan dan fobia untuk hadir ke kelas. Jadi, biar ia tidak berlaku kepada anak orang lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan mengesahkan menerima laporan yang dibuat Aiza Salzul Hanira pada 14 Dis 2024.

"Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan serta telah dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya Negeri Perak untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA