Sebagai inisiatif memperkukuh perpaduan, Masjid Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri menganjurkan program Iftar Muhibbah bagi memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam merasai pengalaman berbuka puasa bersama rakan Muslim.
Eksekutif Kanan Sektor Pembangunan Keluarga dan Tugas-Tugas Khas Masjid Abidin Hakimah Abdul Rahman berkata program yang bermula sejak 2017 itu mendapat sambutan menggalakkan setiap tahun.
"Kami mengedarkan jemputan kepada Persatuan Buddha, Hindu, Kristian serta masyarakat bukan Islam di sekitar masjid untuk turut serta dalam majlis berbuka puasa ini.
"Berbuka puasa adalah satu ibadat yang mencerminkan budaya dan cara hidup umat Islam. Ia juga menjadi medium terbaik untuk menjalinkan hubungan kejiranan, termasuk dengan masyarakat bukan Islam,"* katanya ketika ditemui di Masjid Abidin.
Selain berbuka puasa, program ini turut disertakan sesi dialog dan lawatan sekitar masjid bagi menjadikannya lebih bermakna.
"Kami ingin berkongsi kegembiraan berbuka puasa dengan rakan bukan Islam. Diharapkan pendekatan ini membantu mereka memahami bahawa Islam adalah agama yang mesra dan terbuka," katanya.
Menurut Hakimah, setakat ini sambutan daripada masyarakat bukan Islam sangat positif, dengan kebanyakan peserta menunjukkan minat mendalam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam.
"Kita juga mengadakan dialog ringkas bagi memberi peluang kepada mereka bertanyakan sebarang persoalan yang menjadi kemusykilan.
"Seperti hari ini, kita menjemput Mufti Terengganu sebagai panel bersama pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid," katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Sumethi Ramachandran, 45, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang menyertai program itu setiap tahun.
"Rumah keluarga saya berdekatan masjid. Jadi saya selalu dengar azan dan lihat orang berpusu-pusu ke masjid, terutama pada bulan Ramadan.
"Setelah merasai sendiri pengalaman berbuka puasa di sini, saya terus jatuh hati. Jika tiada halangan, saya pasti hadir bersama anak dan ibu," katanya.
Bagi Phua Lee Soh, 71, program ini membolehkannya mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Islam dengan lebih dekat.
"Ini kali pertama saya melihat suasana dalam masjid... cantik dan bersih.
"Melalui sesi dialog tadi, saya memperoleh banyak maklumat. Saya rasa masjid lain juga boleh mencontohi program ini supaya masyarakat bukan Islam dapat memahami Islam dengan lebih baik dan menghilangkan persepsi negatif," katanya.
-- BERNAMA
