ALOR SETAR: Program Iftar Ramadan ‘Experience Kedah' di dataran Medan Bandar tarikan sepanjang bulan Ramadan dicatatkan di dalam kalender Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, Iftar Ramadan ‘Experience Kedah' akan diadakan sebanyak empat kali bermula 7, 14, 21 dan 28 Mac, bermula jam 5 petang hingga 8 malam.

Menurutnya, pelbagai acara dirancang sebagai pengisian program sebelum berbuka puasa untuk memeriahkan lagi suasana, antaranya Klinik al-Quran, sesi sembang santai bersama ulama dan pemimpin serta 'street dakwah'.

Selain itu beberapa acara turut diatur sebagai tarikan antaranya ruang pameran berkaitan lokasi menarik di Negeri Jelapang Padi.

Katanya, pelancong antarabangsa turut akan dibawa bagi merasai juadah tempatan yang menjanji pengalaman iftar yang akan dibawa pulang ke negara masing-masing.

“Sambutan yang amat menggalakan pada hari pertama terdapat pelancong dari luar negara dan terdapat juga pelancong dari dari Indonesia.

“Kita akan meneruskan penganjuran iftar perdana seumpama ini bagi tahun-tahun akan datang dalam kalendar bulan Ramadhan di negeri Kedah.

“Kita juga mengharapkan agar bandar-bandar lain di negeri Kedah turut menganjurkan program iftar perdana ini di setiap bandar-bandar,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut Mohd Salleh, selain bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan program pembinaan rohani, Iftar Ramadan 'Experience Kedah' juga diharapkan dapat menjadi medan untuk mengukuhkan ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam di negeri ini.

Beliau mengalu-alukan jabatan kerajaan, agensi swasta, institusi, NGO mahupun individu termasuk seisi keluarga untuk memeriahkan majlis berbuka puasa secara ‘pot luck’ dengan membawa makanan sendiri.

Seterusnya menunaikan solat Maghrib berjemaah dan tarawih di Masjid Zahir dengan hanya menyeberang jalan.