IPOH: Seorang imam sebuah masjid di Teluk Intan membuat laporan polis terhadap seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa memfitnahnya berhubung isu tidak membaca khutbah Jumaat yang disediakan.

Mohamad Lotfi Samsudin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak malam tadi, mendakwa bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah memfitnahnya dalam akaun Facebook bekas ADUN itu.

Menurutnya, Hasnul Zulkarnain telah memfitnahnya melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di samping tidak menghormati arahan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).

“Hasnul Zulkarnain turut menghina dan memfitnah saya sebagai pembohong di dalam posting Facebook di akaun peribadi beliau.

“Tindakan melemparkan fitnah itu adalah sangat tidak wajar terutama bagi orang yang sangat marah apabila teks khutbah berkaitan fitnah tidak dibaca oleh khatib,” katanya dalam kenyataan kepada media malam tadi.

Mohamad Lotfi menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjatuhkan reputasinya sebagai seorang imam di Masjid Sultan Idris II Teluk Intan.

Beliau turut mendakwa sentiasa komited melaksanakan tugas sebaik mungkin, mengikut arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak JAIPk.

Justeru, katanya, beliau telah menyerahkan kepada pihak peguam untuk meneliti perkara tersebut untuk tindakan undang-undang di atas fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Mohamad Lotfi berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu berniat jahat yang menyebarkan video fitnah tersebut di mana-mana platform media sosial.

Pada Ahad, Hasnul Zulkarnain membuat laporan polis susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat setelah imam tersebut mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.