JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 72 warga asing dan tiga majikan warga tempatan dalam serbuan di 13 buah premis di sekitar daerah Muar dan Batu Pahat 16 Jan lepas.

Pengarah JIM negeri Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata dalam operasi di Muar, sebanyak sembilan kilang dan asrama haram diserbu dengan 32 warga Myanmar termasuk enam wanita, 16 lelaki Bangladesh dan dua lelaki Pakistan berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun ditahan.

Beliau berkata operasi dari 10 pagi hingga 7.30 malam Khamis lepas itu susulan aduan awam dan kesemua 50 warga asing berkenaan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, dekat sini serta disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Sebanyak enam notis untuk hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Rusdi berkata dalam serbuan Op Gegar di empat premis pusat urut dan refleksologi di Batu Pahat, sebanyak 22 warga asing dan tiga majikan warga tempatan telah ditahan.

Beliau berkata warga asing yang ditahan dalam serbuan kira-kira 7.10 malam Khamis lepas itu terdiri daripada 20 wanita Thailand dan seorang wanita Myanmar serta Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun.

"Turut ditahan seorang wanita tempatan berusia 70 tahun dan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 41 tahun yang merupakan penjaga premis terbabit," katanya.

Beliau berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala tiga warga tempatan itu pula disiasat di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen dengan enam notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA