Zakaria berkata operasi bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan CyberSecurity Malaysia ke atas beberapa premis dipercayai menjalankan sindiket perniagaan pengiriman wang haram itu, turut berjaya merampas mata wang asing berjumlah Euro 1,400, Yuan 10,000 dan barangan perhiasan dipercayai emas.
Beliau berkata semakan awal mendapati tiga lelaki warga India telah salah guna pas, dua lelaki warga India telah tinggal lebih masa, manakala tiga lelaki warga India dan dua perempuan warga Indonesia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.
"Kesemua warga asing berusia antara 21 dan 57 tahun ini dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata premis berkenaan menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan menyasarkan warga Indonesia dan India sebagai pelanggan.
"Sindiket ini menjalankan kegiatan di sebalik kedai runcit dan kedai makan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi selama setahun itu menerima antara RM15,000 dan RM60,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM110,000 pada musim perayaan.
"Wang ini akan dihantar ke luar negara terutama Indonesia dan India," katanya.
Zakaria berkata pihaknya percaya sindiket berkenaan menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan perniagaan wang dan pengubahan wang haram.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)