Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata dalam serbuan kira-kira 11.30 pagi itu, kesemua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun dari China, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Laos dan Thailand.
"Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan hampir tiga minggu, premis itu telah disewa sindiket untuk dijadikan pusat panggilan bagi memperdayakan mangsa dengan tawaran pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham dan mata wang asing yang tidak wujud.
"Mereka bukan sahaja menyasarkan warga tempatan tetapi turut menjangkau pelanggan atau mangsa dari luar negara terutamanya dari negara mereka sendiri," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jafri berkata sindiket yang dipercayai telah beroperasi hampir tiga bulan itu menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat, WhatsApp, Telegram dan pelbagai aplikasi lain lagi sebagai medium mencari mangsa.
Beliau berkata sindiket itu akan menghubungi mangsa melalui nombor telefon yang diperoleh secara rawak dan apabila mangsa mula menunjukkan minat, mereka diminta memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan ahli sindiket dengan menghantar pautan yang telah disambung kepada pentadbir.
"Mangsa akan berasa tertipu apabila sindiket itu gagal dihubungi setelah mereka memindahkan sejumlah wang kepada akaun milik warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai keldai akaun," katanya sambil menambah sindiket itu turut menawarkan perkhidmatan judi dalam talian dan penipuan cinta.
Beliau berkata hasil keuntungan yang diperoleh sindiket itu dianggarkan RM100,000 ke RM150,000 sehari, manakala anggota sindiket pula menerima upah sekitar RM2,500 ke RM3,500 sebulan.
Jafri berkata semasa serbuan, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan terdiri daripada dua rak server, empat komputer riba, 88 telefon bimbit, tiga router, empat modem, 26 kad sim dan wang tunai RM100,000.
Beliau berkata kesemua warga asing yang ditangkap dalam operasi itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan antaranya memasuki Malaysia tanpa pas yang sah, tinggal selepas tamat tempoh pas dan melanggar syarat pas lawatan sosial.
-- BERNAMA
