Warga Malaysia berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu sebaliknya terperdaya untuk bekerja di Siem Reap, antara destinasi pelancongan popular di Kemboja.
Dia antara ribuan belia asing yang berani merantau untuk mencari kehidupan lebih baik di rantau ini tetapi akhirnya terperangkap dengan sindiket penipuan dalam talian di lokasi seperti di Wilayah Sihanoukville yang terletak di pesisir pantai serta bandar sempadan Poipet.
"Dia (ejen perekrut) memberitahu saya bahawa mereka akan menawarkan saya pekerjaan sebagai kakitangan kasino di Singapura jadi saya bersetuju dan kami berkomunikasi melalui Facebook dan WhatsApp, saya tidak pernah berjumpa dengannya secara bersemuka.
"Saya hanya mendapat tahu pada saat-saat akhir bahawa destinasi saya adalah ke Siem Reap dan saya teruskan kerana saya sentiasa mahu pergi ke luar negara untuk bekerja. Mereka menawarkan gaji bulanan sebanyak US$3,000 (kira-kira RM14,000) termasuk tiket penerbangan, penginapan serta makanan," katanya kepada Bernama, sehari selepas tiba di rumahnya di Kuala Lumpur.
Naratifnya agak samar, tetapi ia adalah alasan yang sama yang didedahkan oleh mangsa lain yang berjaya melarikan diri daripada cengkaman perekrut pekerjaan tidak berperikemanusiaan yang bekerja untuk sindiket penipuan dalam talian yang kukuh.
Modus operandi sindiket yang mengupah warga asing muda untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian di rantau ini seperti Kemboja, Laos atau Myanmar masih tidak berubah.
Kerajaan di rantau ini sedang berusaha membanteras gejala sosial tersebut bagi melindungi belia daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia, selain memperketat kawalan keselamatan sempadan bagi menghalang pemindahan mangsa ke lokasi lain.
Kedutaan juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi membantu mangsa yang terperangkap.
Setibanya di Siem Reap pada Oktober lepas, Iskandar ditugaskan untuk memantau mesin perjudian berskala besar.
"Itu pekerjaan pertama saya, tetapi kemudian saya 'dijual' kepada ejen lain dan diarahkan untuk menipu orang. Saya perlu menghubungi orang yang tidak dikenali dan memaklumkan bahawa mereka mempunyai bungkusan mengandungi barangan haram (serta mengugut mereka untuk mendapatkan wang).
"Saya tidak sanggup melakukan pekerjaan seperti itu, tetapi majikan saya mengugut untuk menghantar saya pulang ke Malaysia dengan syarat saya membayar US$2,000 (kira-kira RM9,000). Mereka juga tidak membayar gaji saya sejak saya tiba di sana. Saya menghubungi ibu saya untuk meminta wang, tetapi beliau tidak mampu menyediakan jumlah itu lalu menghubungi MHO (Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia) untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Iskandar selamat pulang ke tanah air pada 27 Feb.
"Saya melalui hari-hari yang menakutkan kerana majikan mengugut akan mencederakan saya secara fizikal dan mengenakan kejutan elektrik jika saya gagal membayar wang itu. Saya bersyukur dapat pulang dan ingin menyambung pelajaran serta bekerja di Malaysia," kata Iskandar, bekas pelajar vokasional dan anak bongsu daripada lapan beradik.
Dia juga mendakwa bahawa MHO telah meminta bayaran RM1,700 sebagai kos membawanya pulang ke Kuala Lumpur, yang telah dijelaskan oleh keluarganya.
Kementerian Luar Malaysia pada Rabu mengesahkan bahawa 60 rakyat Malaysia yang disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 22 Feb di bandar Poipet yang bersempadan dengan Thailand.
Mereka kemudian dibawa ke Siem Reap bagi tujuan pemprosesan dokumen dan dengan bantuan kedutaan, kebanyakan mangsa telah pulang ke Malaysia.
Kementerian itu menasihatkan rakyat Malaysia supaya menyemak tawaran pekerjaan melalui saluran rasmi dan menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia sekiranya menghadapi masalah.
-- BERNAMA
