Kedudukan terbaharu itu diperoleh hasil daripada sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.
Menurut Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) dalam kenyataan hari ini, walaupun Malaysia berada di kedudukan yang kekal dan memperoleh skor sama, kerajaan perlu menyedari bahawa negara mempunyai visi mencapai kedudukan antara 25 buah negara teratas di dunia menjelang tahun 2033.
“Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut.
“Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.
TI-Malaysia menambah tiga “negara bersih daripada ancaman rasuah” pada tahun ini dan berjaya menduduki tiga tangga teratas dalam indeks tersebut ialah Denmark, Finland dan Singapura.
Ketiga-tiga negara itu masing-masing memperoleh skor sebanyak 90 mata, 88 mata serta 84 mata.
Sementara itu, negara-negara yang berada di kedudukan tercorot adalah Venezuela, Sudan Selatan dan Somalia dengan skor sebanyak 10 mata, sembilan mata dan lapan mata.
TI-Malaysia menjelaskan antara sebab Malaysia berada di kedudukan dan skor yang sama adalah
kerana perniagaan-pernigaan masih merasakan masalah rasuah merupakan isu utama yang perlu dibendung dalam sektor awam.
"Tradisi meminta rasuah dan memberi rasuah masih berleluasa.
"Tiada sebarang makluman perkembangan mengenai dua buah kes yang berkaitan Liabiliti Korporat (Pristine Offshore-2021 & Hydroshoppe-2023) yang berkemungkinan menyebabkan organisasi-organisasi komersial tidak mengambil berat mengenai kepentingan Panduan Tatacara Mencukupi (Adequate Procedures)," katanya.
Selain itu, usaha-usaha Pembaharuan Institusi masih bergerak perlahan walaupun Kerajaan Madani memberikan penekanan terhadap tata kelola yang baik dan pembaharuan institusi.
Ia antaranya melibatkan penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pembentangan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Perolehan Awam, Akta Perkhidmatan Parlimen, Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik dan Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Dalam masa sama, TI-Malaysia berkata sebab lain adalah semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.
"Bilangan kes-kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), yang diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman atau dalam proses pendakwaan.
"Walaupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam. Contohnya, penahanan pegawai kastam di KLIA baru-baru ini akibat penyeludupan vape yang bernilai sebanyak RM8 juta," ujar TI-Malaysia lagi.
Melangkah ke hadapan, TI-Malaysia mencadangkan agar kerajaan mempercepat proses pembaharuan institusi untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan tiada unsur campur tangan politik dengan badan penguatkuasa dan badan kehakiman.
TI-Malaysia juga mengulangi bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan dan memberi penekanan untuk menambahbaik Integrity Pact selari dengan piawaian antarabangsa dengan mewujudkan pengawasan bebas untuk projek mega bagi memastikan bahawa wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus.
"Kerajaan hendaklah memanfaatkan perkembangan teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan (AI),
rantaian blok (blockchain) dan data besar untuk mengurangkan risiko birokrasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam yang akan memberi kesan kepada usaha
membanteras rasuah," kata gabungan itu.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)