SHAH ALAM: Ratusan pengunjung yang sedang berada di dalam sebuah pusat beli-belah di Shah Alam berada dalam keadan cemas apabila berlaku satu insiden tembak-menembak di lokasi berkenaan.

Berdasarkan video yang tular, kelihatan para pengunjung yang berlari-lari mahu segera menjauhkan diri dari lokasi kejadian, sementara ada yang lain masih keliru dengan kekecohan yang terjadi.

Difahamkan, pekerja di pusat beli-belah itu membuat keputusan untuk menutup sementara pintu gulung (roll shutter) premis perniagaan di situ. 

Pada masa yang sama, tersiar beberapa video yang dimuat naik pemilik akaun peribadi di aplikasi media sosial yang antaranya menunjukkan keadaan mereka yang sedang tertanya-tanya dan gelisah, serta berlindung di dalam premis perniagaan di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Bernama melaporkan, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim telah mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata pasukannya baru saja tiba di lokasi.

"Ya betul (berkenaan insiden tembakan) dan pasukan polis baru sampai di tempat kejadian, nanti saya (kongsikan) perkembangan kes," katanya ketika dihubungi. 

BACA: Lepaskan lapan das tembakan di pusat beli-belah, lelaki warga tempatan sedang dijejaki polis