Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata, usahawan yang dilatih tahun lepas menunjukkan prestasi cemerlang dan kebanyakan daripada mereka mampu meningkatkan nilai jualan selepas mengikuti program bimbingan institut berkenaan.
"INSKEN akan menganjurkan pelbagai program dan latihan keusahawanan yang direncanakan pada tahun ini dengan harapan dapat membimbing usahawan yang disasarkan di seluruh negara.
"Tahun lepas kita sasar 10,000 tetapi kita berjaya melatih 13,000 usahawan," katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Kemahiran dan Keusahawanan serta Pematuhan Peraturan Operator Pelancongan Daerah Perak Tengah, Bagan Datuk di Dewan Millenium Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah.
Mustaffa Kamil berkata, INSKEN juga akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan, terutama dalam kalangan golongan B40 dan asnaf.
Beliau berkata, langkah itu dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan golongan berkenaan kerana berniaga antara punca rezeki yang terbesar.
"Kita tawarkan pelbagai inisiatif, sekali gus memberi bimbingan kepada usahawan di seluruh negara dan menjadi fokus kita menyahut saranan kerajaan untuk terus bantu golongan terlibat," katanya.
Beliau berkata, INSKEN juga akan menjalankan kolaborasi strategik dengan pelbagai NGO berkaitan agar dapat memberikan impak lebih besar.
"Justeru, kerjasama strategik ini diperlukan untuk memenuhi jurang bagi mencapai matlamat yang sama iaitu membantu usahawan memajukan perniagaan mereka," katanya. - BERNAMA