IPOH: Ipoh dipilih sebagai antara lapan destinasi pelancongan terbaik di benua Asia bagi tahun ini, sekali gus menjadikan bandar raya ini semakin dikenali pelancong antarabangsa.

Pengiktirafan itu dibuat oleh majalah global gaya hidup 'Time Out' baru-baru ini.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin, Ipoh berada di kedudukan kelima daripada senarai berkenaan.

"Time Out baru-baru ini telah berkongsi senarai lapan bandar terbaik yang perlu dilawati di Asia pada tahun 2025.

"Saya difahamkan, lokasi pelancongan menarik ini dipilih oleh para penulis Time Out yang berada atau pernah melawati tempat tersebut.

"Senarai ini juga menyerlahkan destinasi terkenal dengan daya tarikan budaya, keindahan semula jadi dan pengalaman uniknya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari, di sini, hari ini.

Memetik Time Out, Rumaizi berkata, Ipoh menerima jumlah pengunjung yang ramai kerana kemudahan serta peningkatan penerbangan dari Singapura.

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

Foto Astro AWANI

Selain itu, perkhidmatan kereta api ekspres selama dua jam dari Kuala Lumpur juga merupakan faktor penyumbang.

"Pengiktirafan ini dijangka meningkatkan populariti Ipoh sebagai destinasi pelancongan pilihan.

"Bukan sahaja dalam kalangan pelancong domestik tetapi juga pelancong asing menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Berikut senarai penuh bandar terbaik yang perlu dilawati di Asia pada tahun 2025 menurut Time Out:
1.Sumba, Indonesia
2.Siargao, Filipina
3.Da Nang, Vietnam
4.Tainan, Taiwan
5.Ipoh, Malaysia
6.Osaka, Jepun
7.Nan, Thailand
8.Lijiang, China